Pemilik restoran di Kelantan sedih tiada lagi kek donut dari Ikhwan Bakery

Seorang pemilik restoran di Kelantan memuat naik video seolah bersedih selepas Ikhwan Bakery yang dinaungi syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) tidak lagi menghantar kek donat seperti kebiasaan.

Dengan berlatarbelakangkan gerai yang penuh dengan jualan kuih muih, video itu turut dilatari muzik sedih seolah sama bersedih dengan kontroversi yang terpalit pada syarikat tersebut.

Pemilik restoran tersebut mengatakan kek donat yang dihantar Ikhwan Bakery sangat sedap dan murah selain memuji syarikat itu sebagai vendor yang mudah berurusan.

Sebarang lebihan kek donut yang tidak terjual pada hari itu pula akan disedekahkan sahaja kepada orang ramai.

“Tiada lagi donat kek dari Ikhwan Bakery. Donat kek sedap dan murah. Vendor terbaik, mudah berurusan. (Makanan) tak habis, tak pernah ambil. Mereka sedekahkan,” kata kapsyen dalam video.

Susulan itu, pemilik restoran berkenaan membuka peluang kepada vendor lain yang mahu meletakkan barang jualan di restorannya.

“Dibuka kepada vendor lain tapi jangan niaga ikut suka nak hantar ke tidak,” tambahnya lagi.

Perkongsian tersebut ternyata mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang sebahagian besar mengatakan isu GISBH ini adalah isu akidah dan bukan soal menutup ekonomi Islam.

Mereka mempertahankan keputusan pihak berkuasa untuk menyiasat GISBH secara besar-besaran kerana didakwa melakukan penganiayaan terhadap penghuni rumah amal syarikat terbabit.

Malah mereka juga menjelaskan GISBH langsung tidak menyumbang kepada ekonomi Islam kerana tidak membayar zakat dan membayar gaji pekerja.

“Isu GISB ni adalah isu akidah. Fullstop. “Tapi dia menyumbang pada ekonomi Islam”. Celah mana? Cukai tak bayar, zakat tak bayar, buruh bawah umur percuma. Orang Islam mana yang dapat hasil? Menyumbang pada ekonomi ketua dia ada lah. Yang dok back-up tu entah lah. Suka agama sendiri ditunggang?,” kata Rizal Ross.

“Murah sebab 0 kos upah. Upah tak bayar, menzalimi tenaga kerja. Nak keluar (jemaah) tak boleh, ada gengster perambat kalau berani keluar,” kata Halimi Halil pula.

Sementara itu sebahagian lagi mengasihani pekerja-pekerja GISBH, tetapi menganggap tidak sepatutnya kedai-kedai itu ditutup.

Mereka mengaitkan dengan hasad dengki terhadap sesama Islam, selain mempersoal mengapa kesemua kedai yang menjadi punca rezeki kanak-kanak GISB ditutup.

BACA JUGA Tidak senada isu GISBH, wujud dua kem dalam Pas?