Tanda Pas berjangkit penyakit kultus sama macam GISBH

Oleh AHMAD MURSI

Setiap kali kritik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang Hadi, kita akan diingatkan oleh pengikut parti itu bahawa taraf kita tidak setanding dengan Hadi dan tidak layak untuk kritik.

Hujahnya, dia pimpinan Kesatuan Ulama Dunia, mengajar di Rusila sejak muda, menulis banyak buku, ilmunya hebat, dan lain-lain.

Jadi, menegur Hadi dituduh sebagai melawan ulama, melawan Islam, dan berdosa.

Tidak dinafikan, Abdul Hadi seorang guru agama yang hebat, dan hal itu tidak perlu dipertikaikan.

Namun, jangan dinafikan, dia juga ahli politik, mengejar dan mengisi jawatan wakil rakyat dan Duta Khas. Gajinya dibayar oleh rakyat untuk memberi khidmat, bukan untuk dijulang.

Walaupun ada agamawan politik yang berhati-hati, ulama silam lebih memilih medan ilmu dan menjadi penasihat moral, menghindari jawatan duniawi untuk mengelak penyakit ‘Ulama Su’ seperti yang diperingatkan dalam Al-Quran dan Hadis.

Agama itu nasihat

Setiap kali Abdul Hadi komen tentang politik dan melabel musuhnya dengan nama seperti binatang, Dajal, munafik, sekular, dan lain-lain, adakah dia tidak mungkin salah dan tidak boleh dikritik atau dihujah balas?

Saidina Umar, semasa menjadi Khalifah, sentiasa menerima kritikan. Tidak pula beliau melarang rakyatnya memberi kritik dengan alasan dirinya dijamin syurga oleh Nabi SAW.

Nabi bersabda: “Agama itu adalah nasihat.” Lalu kami bertanya, “Untuk siapa, wahai Rasulullah?”

Rasulullah SAW menjawab, “Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin kaum Muslimin, dan seluruh umatnya.” — (Riwayat Muslim).

Abdul Hadi Awang

Jika ada yang kata, pemimpin Pas tidak mungkin silap dalam semua tindakan politik kerana sifat keagamaannya dan Pas pula ‘Parti Islam’ yang sentiasa merujuk Al-Quran, Hadis, Qias, dan Ijmak, itu tandanya Pas telah berjangkit dengan penyakit kultus, sama seperti GISBH.

Tiada seorang pun manusia dalam dunia ini yang bebas dari kesilapan melainkan Nabi-nabi yang maksum.

Tokoh yang dianggap hebat secara keterlaluan, ditambah dengan cerita ghaib dan mimpi-mimpi, dikatakan mempunyai keistimewaan-keistimewaan, dianggap tidak silap, cenderung untuk membawa pengikutnya terjebak dalam penyakit kultus. Cegah sebelum terlambat.

BACA JUGA Tidak senada isu GISBH, wujud dua kem dalam Pas?