AMANAH Selangor sokong penuh langkah tubuh pasukan khas bantu anak GISBH

AMANAH Selangor menyambut baik langkah yang dicadangkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menubuhkan sebuah pasukan khas bagi membantu memulihkan anak-anak yang terlibat dengan kumpulan Global Ikhwan Sdn. Bhd. Holdings (GISBH).

Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, Abbas Azmi berkata, umum menyedari bahawa aktiviti GISBH didakwa melakukan eksploitasi kepada kanak-kanak dan golongan wanita yang jelas bukan sahaja merosakkan masa depan kanak-kanak yang terlibat malah mampu merencatkan perkembangan struktur masyarakat di Malaysia.

Oleh yang demikian, katanya, langkah yang diambil oleh kerajaan negeri Selangor itu amat baik bagi memastikan masa depan kanak-kanak tersebut dipulihkan semula.

“Langkah ini juga dapat membantu kanak-kanak ini kembali kepada masyarakat dan menjalani kehidupan seperti orang lain tanpa merasa tersisih atau menyisihkan diri.

“Ia juga merupakan satu usaha memperkukuhkan aset Negeri Selangor memandangkan kanak-kanak ini juga merupakan rakyat Negeri Selangor yang dapat menyumbang sesuatu yang baik buat Selangor dan Malaysia kelak,” katanya menurut kenyataan.

Terdahulu, Selangor berhasrat menubuhkan pasukan khas bagi membantu kanak-kanak yang diselamatkan daripada premis jagaan GISBH.

Amirudin berkata, pasukan yang terdiri daripada agensi agama Islam dan kebajikan masyarakat itu akan membimbing kanak-kanak yang ditempatkan di pusat perlindungan sementara di seluruh negeri.

Menurutnya, pihak kerajaan negeri akan memastikan mereka kembali dalam aliran utama iaitu pendidikan sebenar, pekerjaan dan tidak lagi hidup dalam kepompong.

Mengulas lanjut, Abbas berkata, AMANAH Selangor bersedia untuk turut berperanan sama dalam pasukan terbabit bagi memastikan kanak-kanak terlibat berjaya dipulihkan merangkumi semua aspek kemanusiaan.

Jelas Ahli Dewan Negeri Seri Serdang itu, pemulihan tersebut penting supaya kelak mereka terbabit mampu meneruskan kehidupan seperti masyarakat lain seterusnya menjadi aset yang bermanfaat buat Selangor dan Malaysia.

BACA JUGA ‘Dah bersalam, jadi terkedu dan terkhilaf tidak bersalaman sekali lagi’