Khianati amanah orang bersedekah, ini teguran menteri agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar menegur institusi amal jariah dalam negara supaya tidak mengkhianati amanah dari mereka yang berinfak atau bersedekah. 

Beliau mengingatkan semua agensi yang berkenaan bahawa tadbir urus yang tidak telus boleh menyebabkan masyarakat tidak berminat untuk bersedekah.

“Tadbir urus yang cekap bukan sahaja akan melahirkan organisasi amal jariah yang berdaya saing, malah mampu mengekalkan keyakinan masyarakat untuk terus menyumbang dan menjadikan institusi berkenaan sebagai institusi infak pilihan.

“Jadi sebab itu saya sampaikan kepada semua agensi dan institusi amal untuk memastikan tatakelola dan tadbir urus yang baik dilakukan dengan seketat-ketatnya…

“Jangan sesekali kita mengkhianati amanah yang diberikan oleh penyumbang-penyumbang infak,” katanya memetik FMT hari ini selepas menghadiri majlis penutup Forum Serantau Yapeim (FSY) 2024.

Terdahulu dalam ucapannya, Na’im turut mengingatkan semua agensi dan badan infak untuk beroperasi berdasarkan prinsip patuh syariah yang menggalakkan pelaburan beretika dan pertumbuhan ekonomi yang bertanggungjawab secara sosial.