Pengganas Israel beri amaran serang besar-besaran Asia Barat ‘malam ini’

Pasukan udara pengganas Israel dilaporkan akan terus melancarkan serangan lebih besar di seluruh Asia Barat pada waktu malam.

Lapor AFP, tindakan itu akan dibuat selepas Iran menyerang Israel dengan puluhan peluru berpandu beberapa jam sebelumnya.

“Pasukan udara terus beroperasi sepenuhnya dan malam ini ia akan terus menyerang di Asia Barat dengan lebih besar seperti yang telah berlaku sepanjang tahun lalu,” kata jurucakap tentera, Laksamana Muda Daniel Hagari dalam satu kenyataan, hari ini.

Dia berikrar untuk bertindak terhadap Iran selepas negara itu melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Israel, sambil menuduh Tehran mendorong “Asia Barat’ ke arah peningkatan konflik”.

Israel meneruskan pengeboman di Lubnan sehingga mengakibatkan pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah terkorban.

Malam tadi, Iran menerusi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) melancarkan lebih 180 peluru berpandu balistik ke arah Israel.

Tersebar di media sosial beberapa sedutan video serangan bertubi-tubi peluru berpandu balistik ke kawasan Palestin yang diduduki haram oleh Israel.

IRGC dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa serangan peluru berpandu itu adalah tindak balas terhadap pembunuhan yang dilakukan oleh Zionis dan jenayah di Palestin dan Lubnan.

“Sebagai tindak balas ke atas pemergian Ismail Haniyeh, Hassan Nasrallah dan Komander IRGC Abbas Nilforushan, kami menyasarkan pusat wilayah yang diduduki,” kata IRGC dalam satu kenyataan.

BACA JUGA Tidak senada isu GISBH, wujud dua kem dalam Pas?