PM Anwar sambut baik komitmen pelaburan Oracle, ini jumlah keseluruhan pelaburan diraih
Perdana Menteri menyambut baik pengumuman satu lagi syarikat gergasi teknologi dunia Oracle, berhubung pembukaan pusat awan awam pertamanya di Malaysia dengan pelaburan berjumlah US$6.5 bilion.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, denggan pertambahan satu lagi pelaburan syarikat teknologi, kerajaan menganggarkan jumlah pelaburan diperoleh Malaysia setakat ini sekitar RM70.3 bilion.
Ia termasuklah pelaburan dari Amazon Web Services, Microsoft, Google dan terkini Oracle.
Menurut Anwar, keputusan pelaburan ini mencerminkan keyakinan dan komitmen syarikat-syarikat dunia terhadap potensi Malaysia sebagai pintu masuk bagi infrastruktur awan dan menyokong pertumbuhan ekosistem kecerdasan buatan (AI) serantau.
“Kejelasan dasar dan pendekatan kerjasama strategik yang dilaksanakan Kerajaan MADANI telah berjaya menarik pelaburan daripada syarikat teknologi utama dunia seperti Amazon Web Services, Microsoft, Google dan terkini Oracle.
“Keseluruhan projek yang diumumkan oleh syarikat-syarikat ini sehingga kini melibatkan pelaburan keseluruhan yang dianggarkan bernilai US$16.9 bilion (RM70.3 bilion),” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, adalah penting bagi tenaga kerja dan syarikat tempatan merebut peluang sebaiknya daripada pelaburan-pelaburan ini.
Dalam beberapa siri perbincangan bersama pelabur termasuk pengurusan tertinggi syarikat-syarikat tersebut, beliau telah menekankan kepentingan perluasan manfaat jangka panjang kepada Malaysia, termasuk pembangunan pusat kecemerlangan, fakulti AI dan pemerkasaan kumpulan masyarakat.
“Saya yakin dengan sokongan semua pihak, matlamat dan sasaran Ekonomi MADANI akan dapat dicapai, Insya-Allah,” ujarnya lagi.