Tular Tel Aviv dibedil peluru berpandu Iran, tempahan pesawat ke New York penuh
Tular di media sosial sejumlah video rakaman penduduk negara haram Israel yang memaparkan Tel Aviv dibedil ratusan peluru berpandu balistik dari Iran.
Antara rakaman itu menunjukkan ibu pejabat Mossad atau pangkalan Glilot, di utara Tel Aviv yang didakwa dijadikan sasaran serangan peluru berpandu Iran.
Tersebar juga gambar sekumpulan mereka yang digelar “tikus Zionis” sedang berlindung sejurus siren merah serangan peluru berpandu Iran bergema.
Ketakutan Yahudi di Israel menjelang hampir setahun Gaza bermandikan darah semakin terbukti apabila mereka berduyun-duyun cuba meninggalkan Tel Aviv dan melarikan diri ke Amerika Syarikat (AS) walaupun Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menyasarkan sasaran penting tentera dan keselamatan Israel bukannya penempatan awam.
“Penerbangan esok (2 Oktober) dari Tel Aviv ke New York telah ditempah sepenuhnya,” dedah pengguna X, Greg J Stoker sambil berkongsikan tangkap layar tempahan penerbangan yang sudah penuh.
Serangan besar-besaran Iran menerusi IRGC itu terus menjadi perdebatan hangat di media sosial dengan ungkapan “I Stand With Iran” sohor kini di X selain tanda pagar #IsraelTerroristState.
Muhammad Shehada contohnya, tampil membidas sikap Israel yang sebelum ini kerap berdalih kononnya menyasarkan pejuang Hamas selepas menyerang kawasan penduduk awam di Gaza termasuk sekolah UNRWA.
“CNN mengakui ibu pejabat Mossad Israel berada di “kawasan padat penduduk (di Tel-Aviv)… dengan orang awam di sekelilingnya”
“Mengikut logik AS/Israel sendiri, ini adalah perisai manusia dan setiap orang Israel di Tel Aviv adalah sasaran yang sah.
“Gila, ‘kan? Itu hujah utama MEREKA (Israel) di Gaza/Lubnan!” tulis Muhammad Shehada.
Menurut IRGC, serangan lebih 180 peluru berpandu balistik ke arah Israel pada malam tadi itu adalah tindak balas terhadap pembunuhan yang dilakukan oleh Zionis dan jenayah di Palestin dan Lubnan.
“Sebagai tindak balas ke atas pemergian Ismail Haniyeh, Hassan Nasrallah dan Komander IRGC Abbas Nilforushan, kami menyasarkan pusat wilayah yang diduduki,” kata IRGC dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, IRGC Iran memberi amaran kepada pengganas Israel mengenai tindak balas yang lebih hebat jika rejim tersebut bertindak balas terhadap serangan yang turut dapat disaksikan di Tehran, Isfahan, Tabriz, Shiraz, Khorramabad dan Arak itu.
“Selepas menahan diri daripada bertindak terhadap pencabulan kedaulatan Iran dalam pembunuhan Ismail Haniyeh oleh rejim Zionis dan hak yang sah untuk mempertahankan diri berasaskan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta peningkatan jenayah rejim itu dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) dalam pembunuhan beramai-ramai di Lubnan dan Gaza dan ‘kesyahidan’ Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah serta Komander dan Penasihat IRGC di Lubnan Jeneral Abbas Nilforushan, IRGC melancarkan puluhan peluru berpandu,” tegas IRGC lagi.
Serangan besar-besaran dari Iran itu membuatkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk memaksa Tehran ‘membayar semula’ apa yang digelarnya sebagai “kesilapan besar”.
“Iran melakukan kesilapan besar malam ini (1 Oktober) dan perlu membayar untuknya,” katanya selepas serangan itu sambil memberi amaran akan membalas serangan sekiranya ada pihak menyerangnya.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant dalam kenyataan dikeluarkan pejabatnya, turut berjanji menghukum Iran atas serangan terbabit.
“Iran belum menerima pengajaran mudah apabila mereka menyerang Israel.
“Jadi, mereka akan membayar harga yang tinggi,” katanya yang dilapor Agensi berada di pusat komando dan kawalan pemantauan pintas peluru berpandu Iran.
BACA JUGA ‘Dah bersalam, jadi terkedu dan terkhilaf tidak bersalaman sekali lagi’
Â