Isu GISBH: Sultan Selangor perkenan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri

Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan keputusan dicapai menerusi mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengenai GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Exco Agama dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, perkara itu mendapat perkenan baginda selepas sembah maklum oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa negeri, Prof Madya Datuk Dr Anhar Opir di Istana Bukit Kayangan di sini, pagi tadi.

“(Keputusan Jawatankuasa Fatwa) disembah maklum kepada Sultan Selangor dan baginda telah memberikan perkenan. Insya-Allah esok kita akan maklumkan sedikit sebanyak berhubung keputusan itu menerusi khutbah Jumaat di masjid dan surau Jumaat seluruh Selangor.

“Tapi fatwa (berkenaan GISBH) itu harus melalui pewartaan terlebih dahulu sebelum kita jadikan hukum dan menjalankan penguatkuasaan,” katanya, lapor Bernama.

Pada 30 September lalu, Jabatan Mufti Negeri Selangor bersidang bagi memutuskan persoalan berkaitan GISBH di negeri itu, selain laporan berkaitan GISBH dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 24 September.