Letak jawatan serta merta, AMANAH Kedah desak CEO MADA Corp

AMANAH Kedah mendesak Ketua Pegawai Eksekutif MADA Corp Abdullah Ismail meletakkan jawatan serta merta.

“AMANAH Kedah berpandangan tindakan CEO MADA Corp tidak beradab, tidak beretika dan gagal menghormati pemimpin dan Menteri yang bertanggungjawab terhadap MADA Corp, anak syarikat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda.

“AMANAH Kedah berpendapat desakan peletakan jawatan tersebut adalah wajar demi mengharmonikan keadaan di samping memulihkan imej anak syarikat MADA berkenaan,” kata timbalan pengerusi AMANAH Kedah Johari Abdullah.

Ketetapan ini dibuat ekoran tularnya klip video di mana Abdullah tidak bersalaman dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yang membuat lawatan ke MADA Corp.

Terdahulu AMANAH Kedah meminta semua pihak menghentikan serangan buli siber terhadap Abdullah.