Larangan merokok di tempat kerja, premis dobi bermula 1 Januari 2025
Premis dobi dan bangunan tempat kerja termasuk sektor kerajaan serta swasta digazetkan sebagai kawasan baharu larangan merokok bermula 1 Januari 2025.
elain dua kawasan itu, tempat lain yang disenaraikan ialah pusat hiburan atau teater (kecuali kasino), kawasan hospital atau klinik, lif atau tandas awam, tempat makan serta kedai berhawa dingin.
Tambahan tempat larangan merokok itu menjadikan keseluruhan sebanyak 28 kawasan digazetkan menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penguatkuasaan kawasan baharu itu akan dibuat secara berfasa dan memberi tempoh tiga bulan kepada premis berkenaan sebelum penguatkuasaan dilaksanakan.
“Saya sangat bersyukur, akhirnya premis dobi menjadi antara yang disenaraikan sebagai tempat larangan merokok sejak saya menjadi Menteri Kesihatan pada 2019.
“Ini kerana kawasan itu didatangi ibu-ibu, isteri yang membawa anak-anak kecil memandangkan ia tempat awam,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat media Akta 852 hari ini.
Denda maksimum sebanyak RM5,000 akan dikenakan terhadap individu yang didapati bersalah merokok atau menggunakan produk merokok di kawasan larangan terbabit.
Akta 852 adalah undang-undang yang berkaitan dengan kawalan tembakau yang bertujuan untuk mengawal penggunaan, pengiklanan, dan penjualan produk tembakau, termasuk merokok termasuk rokok elektronik atau vape terutamanya dalam kalangan golongan muda.
BACA JUGA Dituduh dera budak rumah amal GISBH, lelaki ini didakwa di mahkamah