Anwar jadi ketua kerajaan pertama adakan lawatan rasmi ke Bangladesh
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi ketua kerajaan asing yang pertama mengadakan lawatan rasmi ke Bangladesh sejak pembentukan kerajaan interim yang diketuai oleh pemenang hadiah Nobel Dr Muhammad Yunus.
Ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal semalam disambut Dr Muhammad Yunus bersama dengan para Penasihat Bangladesh dan pegawai-pegawai kanan kerajaan Bangladesh, serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh Haznah Md Hashim.
Anwar memulakan acara rasmi di negara yang menjadi rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan itu dengan mengadakan pertemuan Bersama Muhammad Yunus di Dhaka.
“Kami menekuni beberapa isu penting terutamanya aspek peningkatan kerjasama perdagangan dan pelaburan termasuk telekomunikasi, perjanjian bebas dagang (FTA), tenaga buruh, pelarian Rohingya, pendidikan tinggi, pensijilan halal, selain pembantaian di Gaza dan Lubnan yang berterusan,” kata Perdana Menteri menerusi media sosial rasmi beliau.
Selepas pertemuan dengan Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh itu, Anwar bergerak ke Istana Presiden (Bangabhaban) bagi melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Rakyat Bangladesh, Mohammed Shahabuddin.
“Isu yang disentuh adalah seputar usaha meningkatkan kerjasama di bidang ekonomi dan pelaburan, selain kerjasama di pelbagai lapangan lain yang menjadi kepentingan bersama,” kata Anwar lagi.
Lawatan rasmi Anwar ke Bangladesh turut diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
BACA JUGA ‘Teringin nak rasa orang Penang’, wanita ini dedah kisah ‘Sheikhton’