Mati mulut berbuih selepas bunuh bapa, rupanya ini punca pesara guru ditikam

Seorang lelaki ditemui sudah meninggal dunia di tepi jalan dekat Pekan Senaling dalam keadaan terbaring dengan mulut berbuih selepas membunuh bapanya.

Sebelum itu, suspek berusia 32 tahun berkenaan menikam bapa kandungnya sendiri yang merupakan pesara guru di sebuah rumah dekat Kampung Senaling, petang tadi.

Tragedi berlaku kira-kira jam 4.40 petang ketika warga emas berusia 65 tahun itu memujuk anak lelakinya yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental yang dikatakan mahu membunuh diri.

Suspek meninggalkan rumah itu selepas menikam bapanya menggunakan kereta kemudian ditemui terbaring di tepi jalan dekat Pekan Senaling dan disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, berkata ketika kejadian isteri mangsa turut berada di dalam rumah berkenaan.

“Pemeriksaan pada badan si mati menemukan satu kesan tikaman pada bahagian belakang badan, dengan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Senjata tajam dipercayai digunakan dalam kejadian ini turut ditemui di rumah berkenaan, manakala suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta,” katanya, memetik BH.

Menurutnya, motif kejadian dipercayai suspek mengalami halusinasi dan cuba bunuh diri.

“Ketika dipujuk bapanya, suspek tiba-tiba bertindak agresif dan menikam mangsa.

“Mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” kata Amran lagi.

BACA JUGA Presiden Pas dakwa kerajaan “menuju ke arah” hapuskan Islam