Skim ‘pelaburan’ peti sejuk beku pun ada, habis lesap RM224,000 wang KWSP

Berputih mata selepas simpanan peribadi dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM224,000 lesap angkara terpedaya dengan skim pelaburan peti sejuk beku.

Itu dialami seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun yang mulanya melihat iklan pelaburan dinamakan Freezer di laman sembang WhatsApp pada Januari 2022.

Mangsa kemudian mendapatkan maklumat dan ditawarkan membeli tiga unit peti sejuk beku, setiap satu berharga RM11,000.

Dia melabur RM33,000 dan dijanjikan pulangan RM800 bagi setiap unit dalam tempoh 24 bulan.

Keuntungan pertama diperoleh mangsa ialah sebanyak RM85,600 sebelum dia menambah pelaburan secara berperingkat sehingga mencecah RM224,000.

Namun selepas itu, lelaki berkenaan tidak lagi menerima bayaran pelaburannya bagi 28 unit peti sejuk beku yang sepatutnya sebanyak RM22,400 dalam tempoh 24 bulan selepas melabur.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata mangsa membuat laporan polis semalam berhubung kes pelaburan tidak wujud Freezer.

“Dalam laporannya, mangsa memberitahu bahawa wang yang dilaburkannya itu adalah dari KWSP dan simpanan peribadinya.

“Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya menurut satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap skim pelaburan yang tidak sah atau tidak berdaftar.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan skim pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan sangat lumayan dalam masa singkat.

BACA JUGA Doktor dedah setiap minggu ada satu kes, ini puncanya lelaki 20-an sesak nafas

Â