Ucapan tahniah Wan Fayhsal kepada Mahiaddin, Hamzah dibanjiri kecaman

Ucapan tahniah daripada Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kepada Presiden dan Timbalan Presiden Bersatu telah dibanjiri kecaman warganet.

Rata-rata dilihat mempersoal pemilihan kata “memenangi” yang digunakan Ahli Parlimen Machang berkenaan dalam ucapan tahniah tersebut.

“Sekalung tahniah buat kedua-dua ayahanda kami, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan YB Dato’ Seri Hamzah Zainuddin yang masing-masing telah memenangi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden buat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi penggal seterusnya.

“Semoga dengan mandat dan amanah kepimpinan baru ini Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) akan terus maju ke hadapan dalam usaha menegakkan yang makruf, memerangi yang mungkar juga memenangi hati dan sokongan rakyat seterusnya merangkul kemenangan besar dalam PRU-16 akan datang!” kata Wan Fayhsal.

Pengguna X, @tjerealjoker antaranya, secara sinis menasihatkan agar Wan Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang untuk “sebutlah betul-betul”.

“Menang tanpa bertanding. Sebab dah susun, dah turun arahan dan sebagainya… Din kekal Presiden. Hamzah naik ganti Peja. Peja turun jawatan. Azmin masuk longkang,” tulisnya.

Paling tajam komentar daripada @BoyChan1238, “Satu ayahanda menantu lari, lagi satu ayahanda kepada anak yang sorok minyak masak subsidi.Eloklah tu, dua pengkhianat negara.”

Untuk rekod, Mahiaddin dan Hamzah menang tanpa bertanding susulan masing-masing hanya satu pencalonan diterima bagi jawatan ditandingi mereka.

Mahiaddin mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden parti komponen PN itu, manakala Hamzah yang juga penyandang jawatan Setiausaha Agung pula menang sebagai Timbalan Presiden.

BACA JUGA Anwar cerita apa yang dibimbanginya semasa awal jadi PM