Pas main slogan, bagus sebagai parti semak dan imbang sahaja

Pas merupakan parti yang hanya pandai bermain slogan tetapi gagal menjadikan slogan mereka kenyataan meskipun telah lama memerintah Kelantan, kata ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Puad Zarkashi.

Oleh itu beliau berpendapat adalah lebih baik Pas kekal sebagai parti semak dan imbang sahaja.

“Lebih baik Pas kekal sebagai parti “semak dan imbang” sahaja,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

“Pas parti sloganis. Antara slogan Pas ialah “membangun bersama Islam” dan “Islam memimpin”. Tetapi Pas gagal membuktikannya walaupun ia memerintah Kelantan begitu lama.

“Alasan Pas ialah ia dihalang oleh Kerajaan pusat. Pas pernah duduk dalam kerajaan pusat semasa dalam PN. Itu pun Pas gagal bukti apa apa melalui jawatan menteri yang mereka pegang.

Puad turut menyatakan bahawa kaedah politik yang diamalkan parti pembangkang menyukarkan dan keadaan ini diburukkan dengan anggota komponen Perikatan Nasional yang bergantung harap pada Pas.

“Bolehkah Pas kembali dalam kerajaan pusat supaya mereka dapat peluang kedua? Tidak mustahil. Tapi melihat cara Pas berpolitik ia amat sukar.

“Pas bergabung dengan parti Melayu yang bergantung kepada kekuatan Pas sendiri. Bersatu makin malap. Ia gagal mengganti Umno. Pas perlu sokongan bukan Melayu. Sedangkan Gerakan hanya parti nyamuk.”

BACA JUGA: Presiden Pas dakwa kerajaan “menuju ke arah” hapuskan Islam