Kementerian Pendidikan tingkatkan guru kaunseling, sasaran 1 guru: 250 murid

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyatakan kementeriannya dalam proses meningkatkan jumlah guru kaunseling di sekolah rendah dan menengah kendalian kementerian untuk mencapai sasaran nisbah seorang guru kaunseling bagi 250 murid sekolah rendah dan menengah menjadi kenyataan.

“Sasaran itu belum capai lagi, tetapi kita dalam proses (mencukupkannya)… kita dapat melihat pertimbangan itu sangat baik kerana pengisian untuk guru kaunseling sentiasa mendapat perhatian daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) khususnya bagi memenuhi keperluan.

“Oleh itu kita harap dapat mencapai sasaran berkenaan supaya dapat melengkapkan ekosistem khususnya persekolahan dan memberikan perkhidmatan psikososial yang baik kepada anak-anak kita… insya Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Tekad Reformasi Pendidikan di Dewan Sri Cempaka di Kajang, yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam perkembangan berasingan, Fadhlina berkata lebih 122,000 murid Darjah Satu dikesan belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), dengan antara punca adalah keciciran ketika pandemik COVID-19, kemiskinan serta status anak-anak berkeperluan khas.

“Di peringkat keseluruhan yang KPM sudah kenal pasti melalui program Anak Kita yang baru dilancarkan baru-baru ini, terdapat lebih 83,000 anak-anak di seluruh negara yang akan terbabit program ini.

“Ini termasuk bagi Program 3M (sekolah rendah), Program Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (sekolah menengah) dan Program Murid Cicir (sekolah rendah dan sekolah menengah).

“Bagi saya angka ini sifatnya dinamik kerana sebaik saja mereka menguasai melalui intervensi yang dibuat baik di peringkat negeri atau di Persekutuan dan juga program Anak Kita, nombor ini akan berubah (bertambah baik),” katanya.