Penyelarasan semula cuti hujung minggu di Johor tidak akan ketepikan urusan solat Jumaat
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, cuti hujung minggu di Johor akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Dalam satu kenyataan di Facebook, baginda bertitah, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan dan restu Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
“Saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad,” titahnya.
Baginda juga telah menitahkan agar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Mufti Negeri mengadakan perbincangan dan meneliti perkara ini dari setiap sudut dan aspek.
“Saya berharap agar semua syarikat-syarikat swasta, pihak kerajaan serta pihak yang berkaitan akan memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk para pekerja Muslim menunaikan Solat Jumaat pada waktunya,” titah baginda lagi.
Sementara itu, Onn Hafiz dalam hantaran di Facebook berkata, penyelarasan semula cuti hujung minggu di negeri Johor akan melibatkan semua bangsa Johor terutamanya 587,343 pelajar dan 1.948 juta tenaga kerja di Johor di mana majoritinya adalah dari sektor kerajaan dan swasta.
Kata beliau, titah perbincangan penyelarasan perubahan cuti hujung minggu ini akan meliputi seluruh aspek tanpa mengetepikan penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari.
“Kerajaan Negeri bersama Mufti Negeri Johor dan agensi yang terlibat akan memperincikan waktu kerja yang sesuai terutamanya pada hari Jumaat bagi memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat pada waktunya.
“Insya-Allah, tanpa mengetepikan kepentingan urusan solat, penyelarasan ini juga akan mengurangkan masalah penjadualan dalam kalangan sektor awam dan sektor swasta, memberi ruang kepada keluarga untuk meluangkan masa bersama dan membantu memudahkan aktiviti rentas sempadan serta aktiviti perniagaan. Insya-Allah,” katanya lagi.
Â