‘AS sokong gencatan tapi hantar senjata’, PM kritik hipokrasi Barat di Gaza

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik sikap hipokrasi Barat dalam menangani genosid di Gaza termasuk tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menghantar senjata untuk Israel.

Pendirian tegas Perdana Menteri itu disuarakan beliau semasa temu bual eksklusif dengan penyiar dan pengulas politik yang berpangkalan di AS, Mehdi Hasan.

“Tindakan hipokrit banyak negara Barat yang membiarkan apa yang berlaku di Gaza sangat mengejutkan dan mengerikan bagi saya.

“AS menyokong gencatan senjata, tetapi pada masa yang sama, menghantar senjata. Pada saya, ini adalah hipokrasi daripada pihak pentadbiran AS,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menekankan peranan Malaysia dalam menyuarakan keadilan, walaupun adalah sebuah negara kecil.

“Malaysia adalah sebuah negara kecil, tetapi ia adalah suara hati nurani, dan saya mewakili sebahagian besar rakyat Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri ketika ditemu bual secara eksklusif, Mehdi Hasan.

Perdana Menteri turut menjelaskan pendirian Malaysia dalam isu itu, dengan memberi tumpuan kepada masalah rakyat Palestin dan tindakan Israel.

Anwar juga ditanya mengenai pendirian Malaysia yang tidak membenarkan kapal Israel berlabuh di mana-mana pelabuhan negara itu, dan mengapa larangan berkenaan tidak diperluaskan kepada kapal dari negara lain seperti AS yang memainkan peranan penting dalam menyokong Israel.

Beliau menjawab bahawa Malaysia perlu mengambil pendekatan yang realistik; jika negara meluaskan larangan kepada kapal dari negara lain, ia akan membabitkan ratusan negara lain.

Sebaliknya, kata beliau, Malaysia telah mengehadkan tindakannya untuk menangani isu Palestin dan tindakan langsung oleh Israel.

Mengenai topik waran tangkap yang difailkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa, yang termasuk dua waran tangkap untuk pemimpin tertinggi Israel dan tiga untuk pemimpin Hamas, Anwar ditanya sama ada beliau menyokong menahan pemimpin Hamas untuk bertanggungjawab atas jenayah perang.

Anwar berkata, pendiriannya ialah mangsa tidak boleh didakwa dan Hamas adalah organisasi yang dipilih untuk mewakili rakyat mereka.

Mehdi bertanya kepada Anwar sama ada seseorang boleh menjadi pro-Palestin tanpa menjadi pro-Hamas, dan beliau menjawab: “Sudah tentu, tetapi terpulang kepada rakyat Palestin untuk memutuskan siapa yang mereka mahu.

“Saya tidak semestinya berkongsi pandangan mereka mengenai banyak isu tetapi saya memahami penderitaan rakyat ini.

“Jika sebahagian negara saya dijajah, saya tidak akan berhenti,” tegasnya kepada wartawan, penulis buku dan pengacara terkenal British-Amerika itu.

Semasa temu bual itu, Mehdi turut bertanya mengenai lawatan Anwar dengan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh pada Mei sebelum kematiannya apabila perdana menteri menghadapi kritikan daripada ramai masyarakat antarabangsa.

“Anda membalas kritikan selepas beliau (Haniyeh) dibunuh, bahawa pengkritik anda, saya memetik, ‘gagal menghargai keinginannya yang mendalam untuk Timur Tengah yang aman’.

“Ramai orang akan mengatakan, ‘Perdana Menteri, itu kenyataan yang melampau mengenai seorang lelaki yang memuji serangan 7 Oktober, dan pembunuhan orang awam Israel serta memuji Osama bin Laden apabila beliau meninggal dunia’,” kata Mehdi.

Anwar menjawab bahawa Hamas mewakili sebahagian daripada penduduk Palestin, mengakui bahawa walaupun tidak semua rakyat Palestin menyokong Hamas, mereka masih sebahagian daripada komuniti Palestin.

“Anda tidak boleh melabelkan mangsa dan rakyat yang dijajah, yang memilih untuk melawan penjajah mereka, sebagai pengganas,” kata Anwar lagi.

@zeteonews

“You say ‘ceasefire’ at the same time you’ve been sending weapons. So there is clearly, to me, sheer hypocrisy… from the U.S. administration.” In an exclusive interview, Malaysian Prime Minister Anwar Ibrahim talks to Mehdi about Israeli genocide, U.S. complicity, and more. Click the link in bio to watch the full discussion.

♬ original sound – zeteo

BACA JUGA Penipuan seorang ulama dalam politik: Bukan hal kecil walaupun sekali