Guna air parit cuci kuali, simpan sayur dalam tandas: Ini penegasan KKM
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam memilih tempat makan dan sentiasa memastikan makanan yang diambil adalah bersih dan selamat.
Menerusi kenyataan hari ini, KKM memaklumkan pihaknya melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa terhadap premis makanan bagi memastikan pematuhan kepada Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Ini termasuklah membersihkan peralatan menggunakan sumber air yang bersih, menyimpan bahan mentah dan makanan di tempat yang selamat dan pada suhu yang betul serta mengamalkan kebersihan diri yang optimum semasa mengendalikan makanan.
“Di samping itu, adalah menjadi tanggungjawab pengusaha premis makanan untuk memastikan semua pekerja menghadiri Latihan Pengendali Makanan di Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf oleh KKM serta mendapatkan vaksinasi anti tifoid,” menurut kenyataan itu.
Penegasan KKM itu susulan beberapa isu yang tular di media sosial dan juga dilaporkan di media massa berkaitan pengendali makanan mengendalikan makanan dengan cara tidak bersih dan selamat seperti menggunakan air parit bagi mencuci periuk dan menyimpan bahan mentah sayur-sayuran di dalam tandas.
Mengulas lanjut, KKM turut menasihatkan sebelum membeli, “Perhati dan Pilih” serta amalkan “Lihat Hidu Rasa” kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan.
Dalam hal ini, KKM akan terus menjalankan advokasi dan memantau serta mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan keselamatan makanan di negara ini terjamin.
Jelasnya, KKM melaksanakan program Walkabout BeBAS iaitu “Premis Bersih, Bebas Asap” sepanjang tahun ini yang memberi penekanan kepada dua komponen utama iaitu pematuhan kepada peraturan kebersihan premis makanan dan peraturan berkaitan larangan merokok di premis makanan.
“Melalui program BebAS ini, premis makanan seperti restoran, kedai makan, medan selera, dan lain-lain diberikan Pengiktirafan Premis Bersih dan Selamat (BeSS) oleh KKM.
“Pengiktirafan BeSS ini diberikan kepada premis makanan yang telah mematuhi standard dan peraturan yang ditetapkan selain meningkatkan keyakinan pengguna dalam memilih premis makanan yang bersih dan selamat,” menurut kenyataan KKM lagi.
BACA JUGA Tiada parti boleh guna nama agama