Mahdzir tiada halangan bantu siasatan SPRM kes 1BestariNet
Datuk Seri Mahdzir Khalid setakat ini belum lagi menerima notis arahan untuk hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes projek 1BestariNet, Kementerian Pendidikan (KPM).
Bekas Menteri Pendidikan antara tahun 2015 hingga 2018 itu berkata, beliau hanya dimaklumkan mengenai perkara itu melalui laporan portal media yang menyebut namanya antara individu yang akan dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan kes tersebut.
“Jadi, saya tidak ada sebarang halangan dan bersedia untuk memberi kerjasama untuk membantu siasatan SPRM pada bila-bila masa jika saya diperlukan hadir untuk memberi keterangan,” kata Mahdzir dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, SPRM dilapor sedang mempertimbangkan untuk memanggil Mahdzir bagi membantu siasatan kes 1BestariNet.
Ia membabitkan sebuah syarikat yang dilantik oleh KPM untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada 8,000 sekolah yang didakwa membuat tuntutan palsu.
Nama Mahdzir dilapor adalah antara dalam senarai penyiasat selain bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin.
Bulan lalu, SPRM dilapor menyerbu pejabat YTL Communications Sdn Bhd sebagai sebahagian siasatan terhadap projek yang bermula pada 2011.
Projek itu bermula semasa Mahiddin menjadi Menteri Pendidikan yang mana Datuk Seri Najib Razak ketika itu sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Pada 2019, Menteri Pendidikan ketika itu, Dr Maszlee Malik, memutuskan untuk tidak menyambung kontrak YTL Communications.
Dua tahun kemudian, Dr Maszlee mendakwa Mahiaddin mendesak Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, agar beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan berkaitan dengan kontrak YTL Communications.
BACA JUGA Islam sentiasa menang tapi Pas kalah, Abdul Hadi kena ‘serang’ lagi
Â