‘Kecoh sebab kapal perang China berlabuh di Pulau Pinang, cuba kalau pi Kedah…’
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilihat mengundang kecaman warganet susulan dua kapal tentera laut China yang berlabuh di Pulau Pinang.
Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu menganggap Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberikan “sambutan luar biasa” terhadap rombongan dua kapal perang terbabit pada 5 Oktober lalu.
“Perkara ini amat dikesali tatkala sensitiviti rakyat Malaysia yang masih terkesan dengan poster Bulan Kebangsaan yang tular menggunakan gambar tentera China baru-baru ini yang masih belum reda.
“Ia ditambah pula dengan pencerobohan demi pencerobohan yang dilakukan oleh tentera China ke atas perairan kita khususnya di perairan Sabah dan Sarawak sehingga menimbulkan kebimbangan dan kemarahan di kalangan rakyat Malaysia,” katanya di platform X hari ini.

Rata-rata yang membanjiri ruangan komentar dalam kenyataan Wan Fayhsal itu menempelak Pengerusi Portfolio Hal Ehwal Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen PN berkenaan.
Ada yang secara sinis berpendapat pembangkang mungkin tidak kecoh jika kunjungan dua kapal tentera dari republik itu berlabuh di Kedah.
Tidak kurang juga yang membangkitkan mengapa tidak pula timbul soal “sensitif” apabila tanah seluas hampir 10,000 ekar di Tanah Tinggi Lojing, dekat Gua Musang diberikan kepada syarikat bukan bumiputera untuk projek durian Musang King seperti pernah dibangkitkan Pemuda UMNO Kelantan tahun lalu.
“Kecoh lah kan sebab pi Pulau Pinang cer kalau pi Kedah ok lah kan,” kata pengguna X, @AfafAsyr4f.
“Patutlah pembangkang paling gagal dalam sejarah. Bangkitkan isu merepek, bukan untuk memajukan negara tetapi nak membangkitkan permusuhan sahaja,” ujar @mdfaiz_mdfaiz87.
“Kerajaan dah buat penjelasan. Cukuplah membodohkan rakyat,” tegas @DrJamalul.
Sementara itu, Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, kapal perang dari negara lain seperti Australia, Amerika Syarikat (AS), China, India dan dari destinasi lain yang berlabuh Malaysia adalah mengikut protokol dikendalikan Wisma Putra serta dalam pengetahuan Kementerian Pertahanan.
Dalam hal berkaitan, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai semalam dilaporkan meminta orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kunjungan dua kapal tentera dari China bersama pelajar Naval University of China itu.
BACA JUGA Kapal perang luar berlabuh di Malaysia sejak dahulu