Lima perkara dilakukan Anwar sehingga diangkat pemimpin Islam paling berpengaruh
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyenaraikan lima faktor bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dinobat sebagai pemimpin Islam ke-15 paling berpengaruh di dunia.
Ketua Pengarahnya, Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, antara faktor tersebut termasuklah perjuangan Anwar terhadap Islam dan demokrasi; hak asasi manusia dan keadilan; reformasi Islam dan tajdid (pembaharuan); reformasi pendidikan; dan pengaruh di dunia Islam.
Beliau berpandangan, falsafah masyarakat MADANI yang dibawa Anwar jelas berpandukan konsep keadilan, di samping memberikan rakyat kebebasan untuk mengekspresikan pandangan.
“Hujah Islam disampaikan Anwar dapat difahami dengan betul, menggalakkan keadilan, kebebasan, dan kesejahteraan rakyat.
“Umat Islam di seluruh dunia menyambut idea beliau, terutama pembaharuan demokrasi dalam negara.
“Pendiriannya pula sering merujuk kepada tradisi Islam seperti syura (perundingan) dan ijtihad (pemikiran bebas), menekankan pemerintahan Islam bersifat partisipatif dan representatif, selari dengan prinsip masyarakat Madani.
“Ini menjadikannya jambatan antara sarjana Islam tradisional dan gerakan pembaharuan moden, khususnya dalam memperjuangkan kebebasan politik dan keadilan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Selain itu Mohamed Azam berkata, salah satu teras utama falsafah Anwar adalah keadilan sosial dan hak asasi manusia yang bukan sahaja berkait dengan undang-undang, tetapi juga keadilan pengagihan ekonomi dan kesaksamaan peluang.
Beliau menyentuh tentang usaha Anwar membawa rakyat Palestin ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan.
“Beliau konsisten memperjuangkan isu Palestin dan ini boleh dilihat dalam ucapan beliau baik di dalam negara dan dalam siri-siri lawatannya di luar negara.
“Beliau tegas dalam hal ini dan seorang pemimpin berani dengan lantang agar genosid ini dihentikan,” katanya.
Tambahnya lagi, Anwar telah mempromosikan idea reformasi Islam dengan semuanya masih dalam batas etika Islam.
Anwar juga katanya berperanan dalam reformasi pendidikan dengan mengadvokasi pemikiran kritikal dan pendekatan pendidikan lebih pluralistik dan inklusif dalam dunia Islam, selari prinsip MADANI yang menekankan pembinaan insan seimbang dari segi rohani dan intelektual.
“Ideanya bertujuan mengimbangi pendidikan agama dengan pengetahuan moden dalam sains dan falsafah, terinspirasi oleh sarjana zaman kegemilangan Islam seperti al-Farabi dan Ibnu Sina,” katanya.
BACA JUGA Tiada parti boleh guna nama agama
Â