Surat bapa Altantuya dibaca di mahkamah, hukuman gantung Azilah diganti penjara 40 tahun
Keluarga Altantuya Shariibuu memaafkan bekas anggota Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri yang terlibat pembunuhan model warga Mongolia itu 18 tahun lalu.
Mahkamah Persekutuan dimaklumkan perkara tersebut oleh Peguam J Kuldeep Kumar yang membaca sebahagian isi surat ditulis Dr Shaariibuu Setev mengenai ‘kemurnian hidup’.
Dalam surat itu, bapa Altantuya menyokong agar hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan terhadap bekas komando polis itu diganti dengan hukuman penjara seumur hidup.
Mahkamah kemudian bersetuju menggantikan hukuman gantung sampai mati kepada penjara 40 tahun dan 12 sebatan terhadap bekas anggota UTK itu.
Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan semakan hukuman mati dikemukakan bekas Cif Inspektor Azilah, 48.
“Permohonan pemohon dibenarkan, hukuman gantung ditolak dan digantikan dengan pemenjaraan 40 tahun dan 12 sebatan,” katanya yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.
Hukuman penjara itu berkuasa kuasa 1 November 2006 iaitu tarikh tangkap Azilah.
Terdahulu menurut Berita Harian, peguam J Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah, mengemukakan surat yang ditulis Dr Shaariibuu Setev kepada mahkamah.
“Kami ada surat daripada bapa mangsa, beliau juga meminta supaya hukuman mati diganti kepada penjara,” kata Kuldeep Kumar dalam hujahan di mahkamah hari ini.
Peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo mengesahkan perkara tersebut dan mempunyai salinan asal surat berkenaan, memetik portal itu.
Azilah membuat permohonan semakan hukuman mati susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai tahun lalu.
Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun.
Pada 2009, Azilah disabitkan bersama Sirul Azhar kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober 2006 hingga 1 pagi esoknya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota polis itu.
Pada 2013, Azilah dan Sirul Azhar dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan namun pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan itu dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap mereka.
Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Azilah untuk dibicarakan semula dan semakan sabitan terhadapnya pada 2020.
BACA JUGA Sah dua pengikut ‘Tuhan Harun’ terlepas tali gantung, ini kronologi kes
Â