Apa nasib RUU 355? Menteri Na’im Mokhtar ada jawapannya
Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) tidak akan dibentangkan pada mesyuarat sidang parlimen yang bermula minggu depan.
Sebaliknya RUU Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan (RUU Mufti) akan dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
“Tidak ada (perbentangan RUU35 pada sesi Parlimen minggu depan) belum lagi. Yang itu seperti mana yang diputuskan.
“Yang dalam sidang kali ini, yang kita akan bawa adalah berkaitan dengan RUU Mufti,” katanya selepas Majlis Pelepasan Konvoi Misi Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah di Putrajaya.
“RUU ini dibentangkan untuk memperkukuhkan institusi kefatwaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur, Labuan,” katanya.
RUU Mufti ini adalah di antara empat yang tertangguh dalam mesyuarat lepas.
Tiga RUU lain ialah RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.
BACA JUGA: Selepas diserah kepada pakar, perincian RUU Mufti dirujuk Majlis Raja-Raja minggu depan
Â