Media Indonesia tanya macam mana Malaysia tarik pelaburan syarikat gergasi?
Malaysia kini menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa selepas beberapa syarikat teknologi gergasi dunia memilih negara ini sebagai destinasi utama membina pusat data.
Jika dibandingkan dengan Indonesia, jumlah penduduk dan pengguna media sosial mereka jauh lebih besar daripada Malaysia.
Tetapi kenapa pelabur asing seperti Oracle, Google, Amazon Web Services (AWS), ByteDance, dan Microsoft lebih memilih Malaysia sebagai tempat membina infrastruktur digital dan teknologi awan mereka?
Perkara ini yang menjadi persoalan hangat dalam kalangan media-media Indonesia.
Untuk pengetahuan, Oracle telah mengumumkan pelaburan lebih RM27 bilion di Malaysia atau AS$6.5 bilion, dengan fokus terhadap perkomputeran awanan dan juga kecerdasan buatan.
Google melabur AS$2 bilion (RM9.4 bilion) di Malaysia, merangkumi pembangunan pusat data pertama Google di Malaysia dan Wilayah Awan Google (Google Cloud).
Microsoft mengumumkan pelaburan AS$2.2 bilion (RM10.48 bilion) dalam kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan infrastruktur awan di Malaysia, untuk tempoh empat tahun akan datang.
Jika dibandingkan dengan pelaburan di Indonesia, Microsoft hanya melabur AS$1.7 bilion di sana—lebih rendah daripada pelaburan syarikat itu di Malaysia.
Amazon Web Services (AWS) pula mencatat rekod pelaburan terbesar di Malaysia dengan komitmen sebanyak AS$6.2 bilion (RM29 bilion).
ByteDance, syarikat induk TikTok, turut menyuntik dana ke Malaysia dengan pelaburan AS$2.13 bilion (RM10 bilion) untuk membina pusat AI di Johor.
Difahamkan antara faktor penting kenapa syarikat gergasi dunia berduyun-duyun bertandang ke Malaysia adalah disebabkan polisi yang mesra pelabur yang diperlukan segera oleh pelabur-pelabur.
Selain itu, dengan menawarkan kos operasi yang lebih rendah, Malaysia berjaya menarik minat syarikat-syarikat teknologi yang mencari lokasi strategik untuk membina infrastruktur digital mereka.
Sementara di Indonesia pula, dikatakan polisi yang saling bertindih dengan pemerintah menyebabkan pelabur berfikir dua kali sebelum memutuskan untuk melabur dalam sektor teknologi.
Infrastruktur tidak memadai juga menjadi salah satu punca terbesar yang menghambat perkembangan industri pusat data di Indonesia.
Menurut NST, dengan polisi mesra pelabur dan kos operasi yang lebih rendah, Malaysia ketika ini dalam perjalanan untuk menjadi pusat data terbesar di Asia menjelang tahun 2028 melepasi Singapura.
BACA JUGA Ratusan berarak ke kedutaan AS sempena memperingati setahun Gaza diserang
Â