Jangan hipokrit, banyak tinggalan penjajah kamu guna – Puad bahasakan Pas

Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Mohd Puad Zarkashi menempelak Pas Johor selepas mendakwa cuti hujung minggu di Johor yang ditukar kepada Sabtu dan Ahad adalah peninggalan penjajah.

Beliau menegur Pas untuk tidak hipokrit kerana hakikatnya banyak tinggalan penjajah yang Pas sendiri guna sehingga hari ini.

Terutama katanya, dalam sistem politik dan pentadbiran negara di mana Perlembagaan negara adalah peninggalan penjajah.

“Pas jangan hipokrit. Banyak tinggalan penjajah yang Pas sendiri terima dan guna pakai.

“Islam tetap agama persekutuan. Sebab itu Pas tidak berani mendakwa Malaysia negara sekular. Justeru kenapa politikkan isu cuti hari Ahad? Ia tidak membabitkan akidah seseorang,” ujarnya di Facebook.

Puad berkata, sudah berkurun orang Islam melaksanakan Ibadah puasa waktu bekerja, bahkan pejabat tidak perlu ditutup sepanjang bulan Ramadhan. 

Justeru beliau memabalas, apa guna cuti jika tidur sehingga terlepas solat Jumaat.

“Apa pun peraturan selagi maslahah Islam terpelihara maka jangan putar belit. 

“Apabila Pas sertai pilihan raya, calon kena bayar wang pertaruhan. Apakah itu judi? Pas kata boleh demi maslahah untuk dapat kuasa. Tanpa kuasa Islam tidak memerintah,” katanya lagi.

Kelmarin, Pas Johor berkata penukaran cuti hujung minggu diumumkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail adalah peninggalan penjajah, sambil menegaskan pemerintah sepatutnya mengutamakan Jumaat.

Tunku Ismail kemudian menjelaskan perubahan cuti hujung minggu itu mengikut kehendak rakyat, dan jika terdapat pihak kurang senang dengan keputusan berkenaan, ‘boleh berpindah ke negeri lain yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu’.

BACA JUGA Polis buka mulut, dedah punca 4 pelajar tahfiz larikan diri

Â