Makanan terbiar atas lantai, kedai popia terkenal di Melaka diarah tutup 2 minggu

Sebuah kedai popia terkenal di Melaka diarahkan tutup serta merta selepas anggota penguat kuasa mendapati premis berkenaan langsung tidak mengambil berat tahap kebersihan premis.

Selain keadaan dapur yang kotor termasuk mempunyai najis tikus, bahan mentah untuk membuat makanan terbabit didapati dibiarkan terdedah dan berselerak di sekitar dapur.

Menurut Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem, pemeriksaan pihaknya mendapati ada makanan basah seperti tauhu diletakkan di atas lantai, malah ada yang diletakkan bersebelahan tong sampah.

Beliau telah mengarahkan premis terbabit ditutup serta merta selama 14 hari selain lima notis dengan nilai RM1,600 dikeluarkan kepada pemilik premis.

“Pemeriksaan yang kami buat mendapati premis berada dalam keadaan tidak bersih apabila makanan disediakan diletakkan di atas lantai dan bahan mentah pula diletakkan bersebelahan tong sampah.

“Malah, tauhu basah diletakkan di atas lantai dan tempat membungkus popia berselerak di sekitar dapur serta bercampur dengan bahan yang boleh menyebabkan pencemaran kepada makanan.

“Pemeriksaan kami juga mendapati semua pekerja tidak memakai pakaian perlindungan diri (PPE) ketika mengendali makanan selain pekerja wanita pula memakai perhiasan diri yang sangat ketara,” katanya selepas menyertai Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Rokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di Bukit Baru, semalam.

Kedai popia itu antara 24 premis menjual makanan di daerah Melaka Tengah yang diperiksa namun hanya tiga yang diarahkan tutup bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dibuat.

Selain premis popia terbabit, terdapat dua lagi yang diarahkan tutup kerana tahap kebersihan tidak memuaskan adalah gerai jualan sarapan.

“Tindakan diambil mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Saya ingin mengingatkan kepada pengusaha premis khususnya untuk sentiasa menjaga kebersihan memandangkan Melaka adalah negeri pelancongan,” katanya.

BACA JUGA Kecoh rupa-rupanya ‘walaun’ yang sertai larian LGBT di Johor?

Â