Mangsa banjir Kedah terus meningkat, air Empangan Muda melimpah

Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kedah meningkat dengan 2,320 orang daripada 721 keluarga sehingga jam 6.17 petang ini.

Kesemua mangsa bencana alam itu ditempatkan di 23 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan sembilan daripadanya di Baling, Kota Setar (8), Sik (2) manakala Kubang Pasu dan Pokok Sena masing-masing satu PPS.

Dalam masa sama, paras air takungan Empangan Muda telah mencapai tahap 100 peratus penuh 100.59 meter pada jam 10.30 malam tadi.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan air Empangan Muda meningkat ke paras 101.13 meter dengan kadar alir limpahan sebanyak 65.16 meter padu sesaat.

Paras air sungai pula melebihi tahap bahaya dengan trend menaik di Sungai Ketil di Kuala Pegang, Baling dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar.

Dua sungai lagi sudah melebihi tahap amaran dengan trend juga menaik di Sungai Bata di Kampung Bata, Kubang Pasu dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar.

Sementara itu, tular rakaman air banjir melimpah deras memasuki kediaman seorang penduduk di Baling.

Video berdurasi 28 saat itu memaparkan segenap rumah itu ditenggelami air deras mencecah paha individu dewasa.

BACA JUGA Wang Singapura RM5 juta ditemui, siapa ahli politik berpengaruh cetus tanda tanya

Â