Dah digantung enam bulan pun, Wan Fayhsal tetap hadir ke Parlimen

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tetap hadir ke Parlimen hari ini walaupun sudah digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 18 Julai lalu.

Ahli Parlimen Machang yang digantung kerana menggunakan surat layang dalam hujahnya itu memberitahu kehadirannya sebagai pemerhati.

“Tetap hadir ke Parlimen… sebagai pemerhati.

“Menyokong dan membantu rakan-rakan yang berbahas,” katanya di platform X.

Pada 1 Julai lalu, ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Wan Fayhsal menuntut penjelasan berhubung keputusan penjualan sebahagian saham MAHB selepas dia mendakwa menerima surat layang mendedahkan ‘dalang’ di sebalik keputusan tersebut.

Malah mengejutkan banyak pihak apabila wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu secara terbuka turut menamakan individu terbabit yang didakwanya pegawai atasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam sesi penggulungan usul berhubung penggantungan Wan Fayhsal pada 18 Julai lalu, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketetapan perlu dibuat bagi mengelak budaya buruk dalam kalangan Ahli Parlimen, yang merujuk kepada perkara tidak sahih dalam Dewan.

Tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu, Ahli Parlimen sebaliknya perlu mencari jalan menyiasat surat layang tersebut, seperti merujuknya kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), membuat laporan polis atau bertanya kepada menteri yang bertanggungjawab.

“Kita ini bertanggungjawab. Jika kita rujuk dokumen sahih, saya yakin kerajaan tidak ada masalah tapi jangan kita pakai surat layang sebab kita akan membuka ‘floodgate’, semua dalam Dewan guna surat layang.

“Tanggungjawab kita buat undang-undang, bukannya tuduh ikut surat layang yang orang hantar.

“Saya faham dan simpati dengan Machang. Kalaulah Machang minta maaf atau cakap macam ni ‘saya mungkin silap, saya dapat (surat layang), saya tidak percaya tapi saya nak tanya betul atau tidak’, itu tiada masalah.

“Tapi beliau duduk. Benda itu tular, macam Parlimen menyokong apa yang Machang cakap. Hanya kerana kita Yang Berhormat, jangan kita berkelakuan seolah-olah melebihi undang-undang,” tegas Azalina lagi ketika itu.

Beliau turut menambah, nama pegawai atasan KWSP yang disebut Wan Fayhsal ialah pegawai kerajaan, sekali gus melanggar peraturan Dewan Rakyat yang tidak membenarkan Ahli Parlimen menyebut kelakuan atau sifat mana-mana pegawai kerajaan selain dalam menjalankan urusan sebagai pegawai kerajaan.

BACA JUGA ‘Buat apa podcast’, Wan Fayhsal cabar debat secara langsung di TV