Giliran Melaka fatwakan amalan dalam GISBH sesat
Jawatankuasa Fatwa Melaka memutuskan ajaran diamalkan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) sebagai sesat kerana mempunyai unsur fatwa melibatkan Al-Arqam.
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat yang telah dipengerusikannya pada 3 Oktober lalu.
“Dalam muzakarah itu telah dibentangkan laporan daripada dua agensi iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan laporan penangkapan pihak berkuasa negeri, di bawah kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tentang situasi di Melaka.
“Kita melihat ada beberapa perkara iaitu elemen dalam GISBH mempunyai serpihan-serpihan kumpulan Al-Arqam khususnya daripada ahli keluarga Allahyarham Ashaari Muhammad yang mempunyai kefahaman, amalan, wirid dan sebagainya mengikut fatwa lama (Al-Arqam),” jelasnya.
Abdul Halim berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Beliau berkata, di Melaka, ajaran Al-Arqam telah difatwakan sesat pada 11 Ogos 1994 dan diikuti Rufaqa pada 2 Ogos 2007.
Tambahnya, keputusan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat bersama pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sebelum diangkat untuk mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim.
Menurutnya, fatwa yang diwartakan itu nanti akan dijadikan garis panduan bagi penguatkuasaan oleh JAIM dan PDRM terhadap individu disyaki terlibat.
“Setakat ini, kita belum mempunyai jumlah sebenar mereka yang terlibat, jadi fatwa ini akan jadi garis panduan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sekiranya ada elemen-elemen tadi berlaku.
“Saya dimaklumkan di peringkat pendakwaan JAIM telah ada perjalanan kes di Mahkamah Syariah (berkaitan kes GISBH),” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Perlis, Selangor dan Pahang telah memutuskan ajaran dan amalan dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat dan menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.
BACA JUGA Banduan belia dilatih kerja kedi golf, ramai puji inisiatif KBS dan Jabatan Penjara ini