Isu GISBH: Pulau Pinang siap sedia pemulihan akidah, pendidikan
Mulai esok Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang akan bersidang dua hari untuk membuat ketetapan sama ada kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings (GISBH) mengandungi unsur sesat sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, pihaknya telah bersiap sedia daripada sudut pemulihan akidah dan pendidikan kepada ahli-ahli GISBH termasuk anak-anak mereka.
Persediaan itu dilaksanakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) susulan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
“Sekarang kita menunggu keputusan itu (selepas persidangan selesai).
“Bagaimanapun dari sudut JHEAIPP selepas pengumuman yang dibuat oleh Menteri Agama, kita juga telah bersiap sedia.
“Umpamanya, kita menyediakan Kompleks Darul Hidayah di Permatang Tok Gelam untuk diadakan pusat pemulihan akidah dan kita sediakan guru-guru takmir.
“Berkaitan pendidikan pula, saya dimaklumkan seramai 200 pelajar berusia tiga hingga 19 tahun (yang diselamatkan dalam Op Global) telah ditempatkan di satu lokasi di negeri ini untuk diberikan bimbingan psikologi bagi memulihkan semangat mereka,” katanya, memetik BH.
Setakat ini, Perlis, Selangor serta Pahang mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISBH yang dikaitkan dengan kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama itu sebagai menyeleweng dan sesat.
Polis melancarkan Op Global awal September lalu dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.
Seramai 662 kanak-kanak sehingga 8 Oktober lalu diselamatkan daripada rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH melalui beberapa operasi pihak berkuasa.
Dalam masa sama, seramai 359 pengikut GISBH turut ditahan dalam Op berkenaan, termasuk pengurusan tertinggi syarikat itu.
BACA JUGA ‘Buat apa podcast’, Wan Fayhsal cabar debat secara langsung di TV
Â