RUU tangani ancaman penyakit berjangkit diluluskan
Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 bagi meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menangani ancaman penyakit berjangkit.
RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dengan melibatkan perbahasan 24 ahli Parlimen dari blok kerajaan serta pembangkang.
Lukanisman ketika sesi penggulungan berkata, RUU itu mempunyai tujuan yang jelas iaitu memperkukuh kesiapsiagaan dan respon negara dalam menghadapi ancaman penyakit berjangkit dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, pindaan tersebut terbahagi kepada beberapa fokus utama iaitu penyelarasan terminologi, kuasa penguatkuasaan, kuasa ketua pengarah tidak mengatasi kuasa menteri dan penggunaan teknologi untuk pemantauan pengasingan.
Selain itu, jelasnya, ia melibatkan pemberitahuan kes penyakit berjangkit dan kesiapsiagaan pencegahan dan penularan wabak, kadar kompaun sebagai deterrent (langkah pencegahan) serta merekuisisi premis dan sumbernya.
“Pengalaman kita ketika pandemik Covid-19 menunjukkan betapa pentingnya pelaporan dan tindakan pantas untuk mencegah penularan penyakit.
“Pindaan yang dicadangkan adalah untuk memperkukuh lagi kesiapsiagaan terhadap penyakit-penyakit baharu dan yang berulang muncul semula seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kuching,” kata Ahli Parlimen Sibuti berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.
BACA JUGA ‘Buat apa podcast’, Wan Fayhsal cabar debat secara langsung di TV