Dr Dzulkefly buat lawatan mengejut ke jabatan kecemasan Hospital Serdang

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengadakan lawatan mengejut ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk melihat sendiri pengoperasian di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ED).

Dalam lawatan tersebut, beliau sempat meninjau Klinik Kardiologi, Klinik Kardiologi Pediatrik, Klinik Kardiotorasik & Unit Kecemasan Jantung.

Hasil lawatan Dr Dzulkefly berkata, beliau mendapati perkhidmatan kesihatan di hospital itu beroperasi dengan baik.

“Saya memuji semangat dan dedikasi anggota kesihatan di hospital ini.

“Pun begitu KKM bertekad untuk terus menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan di bawah seliaan KKM pada masa akan datang,” katanya dalam video dimuat naik di Facebook KKM.

Sementara itu Dr Dzulkefly dalam satu hantaran di platform X berkata, beliau sentiasa gembira dapat bertemu dengan kakitangan KKM dan pesakit untuk mendapatkan maklum balas membina sistem lebih baik.

“Cabarannya ialah untuk mencari jalan penyelesaian dengan segera, sebaik sahaja sumber masalah dikenal pasti. Tetapi tidak semua mempunyai solusi yang cepat,” katanya.