Dua soalan kepada PMX pagi ini dijangka panaskan Dewan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan menjawab soalan berkaitan hasil lawatannya ke Sidang Kemuncak ASEAN di Dewan Rakyat hari ini.
Soalan itu diajukan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) dalam sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQT).
Anwar akan menjawab mengenai persiapan Malaysia dan hala tuju sebagai pengerusi ASEAN 2025 terutamanya dalam konteks ekonomi serta cabaran geopolitik semasa.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, isu berkaitan laporan Bloomberg terhadap Perdana Menteri turut dijangka menjadi fokus utama pagi ini.
Ia akan dibangkitkan Ahmad Fadhli bin Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah kerajaan bersedia mengambil tindakan perundangan terhadap agensi berita antarabangsa Bloomberg berhubung dakwaan campur tangan Perdana Menteri dalam siasatan SPRM.
Untuk Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) minta Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyatakan bagaimana kerajaan merancang untuk merangsang pertumbuhan dalam sektor berkemahiran tinggi bagi menyerap peningkatan bilangan individu berkelulusan tinggi yang memasuki pasaran pekerjaan dan memastikan peluang pekerjaan yang mapan untuk generasi akan datang.
Datuk Dr. Alias Razak (PN-Kuala Nerus) minta Menteri Kesihatan menyatakan perancangan Kementerian untuk mewujudkan dokumen induk seperti Pelan Tindakan (Blueprint) Pemakanan Kanak-kanak bagi menyelesaikan isu-isu pemakanan khususnya isu wasting dan stunting serta obesiti secara komprehensif dan bersepadu.
Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari hingga 12 Disember ini.
BACA JUGA Giliran Melaka fatwakan amalan dalam GISBH sesat
Â