‘PN bawa suara rakyat?’, yakin sungguh Tuan Ibrahim

Kenyataan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kononnya semua wakil rakyat Pas – Perikatan Nasional (PN) “membawa suara rakyat” hanya mengundang tempelak netizen.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas merangkap Ahli Dewan Negeri Cheka di Pahang itu memaklumkan persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung dalam tempoh yang panjang kerana melibatkan perbahasan Belanjawan 2025.

“Mohon doa agar dipermudahkan semua ahli parlimen Pas – PN dalam membawa suara rakyat demi Malaysia Sejahtera,” katanya di platform X.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Rata-rata ‘menyekolahkan’ pembangkang termasuk secara sinis mendoakan ahli-ahli Parlimen PN benar-benar memanfaatkan Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 kali ini.

Malah, ada yang menyifatkan blok PN dianggotai Pas, Bersatu dan Gerakan itu sudah tidak relevan lantaran gagal memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina.

“Cuba Pas belajar berikan pandangan pembangkang yang progresif dan memberi penyelesaian alternatif, bukannya timbulkan persepsi yang membawa kepada fitnah,” kata Saiful Izham Ramli.

Sementara itu, pengguna X, Dr. Zyan berharap pembangkang benar-benar boleh memberi manafaat kepada rakyat bukan menjadi ‘badut sarkas’ di Parlimen.

“Masa panjang tapi kalau mutu perbahasan masih di takuk lama tak ada guna juga. Bosan rakyat tengok,” katanya.

Bermula semalam, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 akan bersidang selama 35 hari hingga 12 Disember depan.

Persidangan kali ini bakal menyaksikan pembentangan Belanjawan 2025 bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera” oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober ini.

Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 itu seterusnya akan dibahas di peringkat dasar bermula 28 Oktober hingga 5 November sebelum jawapan oleh menteri-menteri selama empat hari.

BACA JUGA ‘Top 3’ pembangkang tidak hadir Parlimen hari ini

Â