Tular video keadaan tanah runtuh 30 meter di Taman Melawati

Tular kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat di kawasan lereng bukit Jalan E6, Taman Melawati, hari ini.

Rakaman yang tersebar di media sosial menunjukkan air lumpur mengalir deras menuruni tanah runtuh itu.

Insiden sejurus hujan lebat yang dilaporkan berlaku sejak awal pagi itu dilihat berlaku bersebelahan kediaman penduduk.

Lokasi tanah runtuh itu terletak kira-kira tujuh kilometer dari tapak tragedi Highland Towers di Taman Hillview pada 11 Disember 1993.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 11.42 pagi tadi.

“Sebaik menerima maklumat, pihak JBPM mengerahkan enam pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang ke lokasi kejadian.

“Tanah runtuh berlaku di lereng bukit berkeluasan 20×20 meter serta runtuhan setinggi 30 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini dan bomba masih mengawasi kawasan terjejas ekoran masih berlaku pergerakan tanah.

BACA JUGA ‘Top 3’ pembangkang tidak hadir Parlimen hari ini