Kadar inflasi kos perubatan 12.6% bukan untuk tahun ini
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad telah menafikan bahawa kadar inflasi kos perubatan ialah 12.6 peratus pada tahun ini.
“Merujuk kepada laporan rasmi Bank Negara Malaysia, kadar inflasi kos perubatan di negara ini direkodkan pada tahap 12.6 peratus bagi tahun 2023, dan bukannya unjuran untuk tahun 2024,” kata beliau dalam jawapan bertulis kepada Hasan Karim (PH-Pasir Gudang).
Beliau turut menjelaskan bahawa inflasi perubatan berpunca daripada pembayaran terus dari poket dan kekurangan pembiayaan kesihatan prabayar atau terkumpul.
Beliau turut mengakui inflasi kos perubatan memberi kesan kepada sistem kesihatan awam meskipun data yang direkodkan adalah daripada sistem kesihatan swasta.
Untuk mengatasi masalah ini Kementerian Kesihatan menggalakkan ketelusan harga dalam sektor penjagaan kesihatan swasta.
Turut ditekankan ialah aspek penjagaan kesihatan berasaskan nilai yang memfokuskan kepada peningkatan tahap kesihatan berbanding pembayaran kepada input.
Dr Dzulkefly menambah bahawa pihaknya juga memberi perhatian serius terhadap faktor penentu sosial untuk kesihatan.
Selain itu pelbagai inisiatif gaya hidup sihat telah dilancarkan.
“Kementerian Kesihatan juga sedang giat memperkukuh sistem penjagaan kesihatan primer melalui pengembangan program PEKAB40, yang mempergiatkan kerjasama antara sektor awam dan swasta.
“Inisiatif seperti pencegahan, saringan awal dan pengurusan intervensi penyakit tidak berjangkit (NCD) sedang dipertingkatkan,” kata beliau.
BACA JUGA: Dr Dzulkefly buat lawatan mengejut ke jabatan kecemasan Hospital Serdang
Â