Amaran ribut petir, hujan lebat, angin kencang di 7 negeri hingga 3 pagi ini

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tujuh negeri hingga jam 3 pagi ini.

Amaran itu membabitkan Langkawi, Kota Setar, Yan, Pendang dan Kuala Muda di Kedah, seluruh Pulau Pinang serta Kerian di Perak.

Di Pantai Timur Semenanjung, kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan manakala di Besut, Terengganu dijangka dilanda cuaca tersebut.

Ribut petir juga diramal melanda Sarawak membabitkan kawasan Sri Aman, Betong (Pusa, Betong dan Saratok) dan Sarikei (Pakan).

Keadaan sama dijangka berlaku di Sabah iaitu sekitar Tawau (Tawau, Kunak dan Semporna) dan Kudat (Pitas dan Kudat).

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” menurut MetMalaysia lagi dalam kenyataan yang dikeluarkan jam 11.30 malam tadi.

BACA JUGA ‘Bukan hijau macam parti bulan’, ramai teka warna baju PMX bentang Belanjawan 2025