Belanjawan 2025 usaha ke arah pemulihan ekonomi, pengagihan kekayaan lebih adil

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menyifatkan Belanjawan 2025 sebagai satu usaha ke arah pemulihan ekonomi yang turut memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil.

“Dapat saya simpulkan bahawa Belanjawan 2025 dengan tema “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat” atau “振兴经济,推动改革,造福人民” menumpukan usaha kepada pemulihan ekonomi, serta memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil dan saksama.

“Ini dapat dilihat menerusi penyasaran subsidi yang akan diteruskan pada tahun hadapan, namun 85% rakyat masih kekal menikmatinya. Ini juga menunjukkan Kerajaan Madani mengambil berat akan isu hutang negara dengan jumlah hutang baharu semakin menurun daripada RM100 bilion pada 2022 kepada anggaran RM85 bilion pada 2024,” kata beliau dalam satu hantaran Facebook.

Beliau turut menyifatkan peningkatan gaji minima kepada RM1700 sebagai usaha pekerja memperoleh pendapatan bermaruah.

“Dalam masa yang sama Kerajaan turut mengambil langkah menangani isu kos sara hidup rakyat dengan memberi peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu kepada RM 13 bilion.

Belanjawan 2025 ini juga menunjukkan komitmen #KerajaanMadani dalam memastikan pendapatan bermaruah buat para pekerja melalui kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 berkuat kuasa Februari 2025, selain berusaha mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Saya turut berpendapat #Belanjawan2025 ini positif dan mencakupi semua lapisan masyarakat. Semoga Belanjawan MADANI Ketiga 2025 ini mampu memastikan kestabilan ekonomi rakyat dan negara dengan lebih baik.”