Mujur pembangkang tidak guna teori pasal durian, China mahu jajah Malaysia
Tindakan pembangkang yang membangkitkan isu kehadiran dua kapal tentera laut China yang berlabuh di Pulau Pinang baru-baru ini sebagai sengaja mahu menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, kapal tentera dari negara-negara yang mempunyai hubungan baik dengan Malaysia seperti China, India, Perancis, Jerman dan sebagainya boleh sahaja berlabuh dan melawat dengan memaklumkan kepada pihak negara ini terlebih dahulu.
“Mujur mereka tidak guna teori bahawa bila dijual durian di negara China, habis licin. Oleh sebab durian sangat sedang maka mereka mahu jajah.
“Mereka nak menguasai durian Malaysia yang tiada tolok bandingnya maka dihantar tentera laut mereka untuk memulakan operasi menjajah negara Malaysia,” katanya dalam nada berseloroh.
Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian dalam program bual bicara bertajuk,”Malaysia akan dijajah China dan lain-lain?” menerusi Jom Channel, malam tadi.
Sebelum ini, pembangkang kecoh menyerang kerajaan kononnya membiarkan dua kapal tentera laut China iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal Jinggang Shan dari Zhanjiang berlabuh di Pulau Pinang yang dianggap tidak sensitif dengan konflik yang sedang berlaku di Laut China Selatan.
Mengulas lanjut, Khalid berkata hubungan diplomatik dan ekonomi antara Malaysia dengan China berada pada tahap sangat baik.
“Ini termasuk hasrat Malaysia untuk menyertai kesatuan ekonomi dipelopori Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS).
“Kalau hubungan kita rapat, apa masalahnya apabila mereka minta untuk berlabuh dan datang menziarah. Yang datang itu pun pelajar dan pensyarah dari Naval University of China.
“Namun, isu ini yang dimainkan oleh golongan yang memang tiada bahan dan modal untuk memainkan emosi dan ketakutan,” katanya.
Beliau berpendapat semua pihak sepatutnya melihat kunjungan kapal tentera yang membawa rombongan pelajar China itu sebagai petanda yang baik antara negara-negara yang bersama Malaysia.
“Inilah yang akan melonjakkan kerjasama dan perniagaan antara kedua-dua negara,” tambah Khalid lagi yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Shah Alam.
Untuk rekod, Malaysia merupakan antara negara Asia Tenggara pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan China Pada 1974.
Tahun ini, menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang sama-sama diiktiraf sebagai negara berdaulat mengikut undang-undang antarabangsa.
China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 15 tahun berturut-turut, dengan jumlah dagangan hampir AS$100 bilion.
BACA JUGA ‘Bukan hijau macam parti bulan’, ramai teka warna baju PMX bentang Belanjawan 2025
Â