Tular video detik bertarung nyawa, syahidnya Yahya Sinwar nafi naratif jahat Zionis Israel

Khabar syahidnya pemimpin Hamas, Yahya Sinwar pada 16 Oktober bersamaan 13 Rabiulakhir sekaligus menafikan naratif jahat Zionis Israel kononnya pejuang Palestin itu bersembunyi dalam terowong.

Propaganda pengganas Israel selama ini juga mendakwa pejuang berkenaan menjadikan tebusan sebagai perisai.

Tular rakaman video menerusi dron pengganas Israel memaparkan beberapa detik sebelum pemimpin rakyat Palestin itu dibunuh.

Rakaman dron yang dikeluarkan oleh Zionis Israel itu menunjukkan Yahya bersendirian di sebuah apartmen yang diletupkan.

Kelihatan sebelah tangannya sudah cedera parah dan kepala ditutup dengan selendang.

Yahya Sinwar

Yahya yang menggantikan bekas ketua Hamas, Ismail Haniyeh pada Ogos lepas, dilihat membaling kayu ke arah dron yang menghampiri beliau pada saat-saat akhir hayatnya.

Jurucakap tentera Laksamana Muda Daniel Hagari dalam satu kenyataan berkata, Yahya terbunuh selepas dikesan bersama dua lagi pejuang di Rafah.

“… kami menembak ke dalam bangunan itu dan kami masuk untuk meninjau kawasan itu.

“Kami menemukannya dengan pistol dan 40,000 syikal. Dia dalam pelarian dan pasukan kami membunuhnya,” kata Hagari.

Pada awal Ogos lalu, Komander Yahya Sinwar dinamakan Hamas sebagai pengganti kepada Ketua Biro Politik, Ismail Haniyeh, yang juga dibunuh Israel di Tehran, Iran pada 31 Julai lepas.

Yahya dilahirkan pada 29 Oktober 1962 di kem pelarian Khan Yunis, semasa wilayah di selatan Gaza itu berada di bawah pemerintahan Mesir.

Beliau yang memiliki ijazah sarjana muda dalam pengajian Arab dari Universiti Islam Gaza gugur syahid di medan pertempuran akibat dibunuh pengganas tentera Israel pada usianya 62 tahun.

Ketika hayatnya, Allahyarham dipenjara rejim Israel selama 22 tahun kerana dituduh menjadi dalang kepada penculikan dan pembunuhan dua tentera Israel pada 1989.

Beliau hanya dibebaskan pada 2011 dan dihantar semula ke Gaza hasil rundingan pertukaran tahanan ratusan warga Palestin yang ditahan dengan seorang tentera Israel, Gilad Shalit.

BACA JUGA Selepas lebih 6 tahun jaga suami yang kemalangan, dah sihat kahwin wanita lain

Â