Kenaikan peruntukan 4.1% KPKM mencerminkan komitmen kerajaan

Kenaikan peruntukan sebanyak 4.1 peratus untuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang membawa kepada RM6.42 billion berbanding tahun lalu ialah cerminan komitmen kerajaan untuk memastikan keterjaminan bekalan makanan dan usaha meningkatkan produktiviti sector agro makanan, kata Menteri Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Saya yakin belanjawan ini pastinya akan terus memperkukuhkan keterjaminan makanan negara selaras dengan matlamat Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.

“Secara keseluruhannya, pada tahun 2025, KPKM telah diperuntukkan sebanyak RM6.42 bilion iaitu kenaikan sebanyak 4.1 peratus berbanding RM6.17 bilion pada tahun 2024.

“Peningkatan ini mencerminkan komitmen kerajaan bagi memastikan kecukupan dan keterjaminan bekalan makanan negara serta meningkatkan produktiviti sektor agromakanan demi kesejahteraan rakyat.”

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Pecahan peruntukan RM6.42 bilion KPKM

Pecahan kepada peruntukan RM6.42 billion tersebut adalah seperti berikut:

(a) Peruntukan RM300 juta bagi menjalin kerjasama projek pertanian dengan kerajaan negeri berbanding RM150 juta pada tahun 2024, antaranya untuk menyokong pengeluaran bawang di Perak, ternakan tilapia merah di Pahang dan peningkatan hasil padi di Negeri Sembilan;

(b) Kerjasama kerajaan bersama badan swasta untuk memanfaat hampir 8,800 ekar tanah terbiar milik lembaga kemajuan wilayah dan agensi rangkaian untuk melaksanakan projek pertanian seperti perusahaan ayam organik dan lembu serta tanaman berkelompok;

(c) Kemudahan pinjaman disediakan oleh Agrobank sebanyak RM200 juta kepada pengusaha agromakanan yang menyokong keterjaminan makanan dan pertanian lestari;

(d) Insentif kepada penternak dan petani sebanyak RM27 juta untuk meningkatkan ternakan lembu pedaging, kambing pedaging, kambing tenusu dan bebiri serta pengeluaran bawang tempatan;

(e) Projek Penanaman Padi 5 Musim 2 Tahun di kawasan MADA Fasa 1 dimulakan melibatkan RM1 bilion dengan keluasan 11 ribu hektar yang mampu meningkatkan hasil padi sebanyak 15% selain melonjakkan pendapatan 6,100 pesawah sebanyak 43%;

(f) Projek rintis perolehan baja termasuk baja organik mengikut kawasan penanaman padi secara tender terbuka untuk meningkatkan hasil padi;

(g) Peruntukan RM65 juta bagi membangunkan pengairan dan saliran jelapang padi serta meluaskan estet padi FELCRA di Sabah dan Sarawak;

(h) Peruntukan RM21 juta untuk menyelesaikan isu tanah jerlus di Kerian Laut, Perak, Kedah dan Perlis;

(i) Kenaikan kadar siling bantuan bina baharu atau penempatan semula rumah nelayan daripada RM56 ribu kepada RM84 ribu untuk Semenanjung Malaysia dan daripada RM68 ribu kepada RM90 ribu untuk Sabah dan Sarawak.

BACA JUGA: Intipati Belanjawan 2025

Â