Peruntukan KKM cerminan fokus kerajaan demi peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan, kebajikan petugas, pemulihan infrastruktur

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Profesor Amrahi Buang menyifatkan peruntukan kedua tertinggi untuk Kementerian Kesihatan sebanyak RM45.3 billion sebagai cerminan fokus kerajaan terhadap peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan untuk para pesakit, aspek kebajikan petugas-petugas kesihatan dan pembinaan serta pemulihan infrastruktur termasuk peralatan perubatan.

“Jika dipadankan dengan kerangka Kertas Putih Kesihatan yang telah diterima dan diluluskan di Parlimen pada 15 Jun 2023 yang lalu, fokus kerajaan untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tahun 2025 adalah kepada peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan untuk para pesakit, aspek kebajikan petugas-petugas kesihatan dan pembinaan serta pemulihan infrastruktur termasuk peralatan perubatan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau turut menekankan kepentingan kerangka Kertas Putih Kesihatan diperincikan.

“Seharusnya kerajaan membentangkannya berdasarkan kerangka Kertas Putih Kesihatan di mana butir-butiran diperincikan.

“Ini kerana Kertas Putih Kesihatan ini melibatkan bukan sahaja KKM tetapi juga ikhtiar-ikhtiar yang dilakukan di pelbagai kementerian dan agensi.

“Adalah penting bagi kerajaan untuk melihat kesihatan dari pelbagai sudut pandang. Ia perlu melibatkan fisikal, spiritual, mental dan sosial.

Dalam pada itu Amrahi menyatakan insentif kepada pegawai perubatan dan pergigian perlu dilanjutkan kepada pegawai farmasi.

“Ini kerana pegawai farmasi yang menjalankan tugas pembekalan ubat dan perkhidmatan klinikal berlaku 24 jam khususnya di hospital-hospital.”

Beliau menambah bahawa meskipun KKM menerima peruntukan kedua tertinggi, jumlah tersebut masih kurang daripada syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengesyorkan lima peritus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Lagipun sebahagian besar peruntukan ini adalah untuk penggajian staf dibawah SSPA yang baru. Adalah diharapkan peningkatan ini dapat dilakukan di tahun-tahun akan datang.”

Amrahi turut mengulas mengenai Perang Terhadap Gula menerusi kenaikan kadar duti eksais bagi minuman bergula sebanyak 40 sen seliter mulai 1 Januari 2025.

“Selain ikhtiar “Peperangan Terhadap Gula”, “Peperangan Terhadap Garam” juga sewajarnya dilakukan sekarang kerana ia berkaitan rapat dengan penyakit darah tinggi dan jantung yang menjadi punca utama kematian di negara ini.”

Turut disentuh juga ialah inisiatif co-payment dalam insurans kesihatan swasta yang memerlukan pemegang polisi insurans membayar sejumlah wang sebelum khidmat kesihatan boleh diperoleh.

Berdasarkan kepada kerangka Kertas Putih Kesihatan, satu skim kewangan penjagaan kesihatan nasional yang dikawal kerajaan perlu dimulakan secepat mungkin.

“Akses kepada perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan perlu diberikan kepada semua penduduk di Malaysia melalui satu skim kesihatan nasional yang menyeluruh. Ini bermaksud rakyat jelata dapat mengkases perkhidmatan penjagaan kesihatan sama ada di sektor awam mahupun sektor swasta.

“Ikhtiar untuk “Co-payment” untuk mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan di KKM perlu dimulakan kepada kategori T15. Fi RM 1 dan RM 5 yang dikenakan sekarang perlu ditingkatkan kerana pembaziran ubat-ubatan khususnya telah berlaku apabila pesakit-pesakit tidak mengambil ubat untuk rawatan mereka apabila mereka berada di rumah masing-masing.

“Ini jelas dilihat apabila aktiviti-aktiviti lawatan ke rumah-rumah pesakit kronik dilakukan saban tahun.”

BACA JUGA: Intipati Belanjawan 2025