KKM nafi tangkap layar tular dakwa kerajaan naikkan caj khidmat kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan satu mesej berantai di aplikasi WhatsApp yang mendakwa Malaysia kini menuju ke arah khidmat kesihatan berbayar.
Mesej tersebut merupakan khabar angin lama yang pernah tular sebelum ini.
Pentadbir Facebook Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI telah berulangkali menegaskan iltizam untuk mengekalkan akses terbuka kepada perkhidmatan kesihatan atau #UniversalHealthcare.
“Terbaharu, Dr. Dzulkefly sekali lagi menegaskan komitmen ini pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia pada Mei 2024 lepas, dan juga dalam beberapa jawapan Parlimen,” katanya.
Dalam tangkap layar yang dikongsikan, mesej berantai itu mendakwa kerajaan tidak lagi memberikan rawatan percuma dan telah menaikkan bayaran untuk rawatan hemodialisis kepada RM13 satu sesi.
Bagaimanapun KKM menjelaskan bahawa perkhidmatan asas di fasiliti kementerian itu sememangnya kekal pada kadar RM1, perkhidmatan pakar pada RM5, dan perkhidmatan hemodialisis pada RM13 satu sesi.
Untuk perkhidmatan 3 kali seminggu, biasanya kos rawatan hemodialisis ialah RM159 sebulan.
Pentadbir halaman itu menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak pernah menaikkan kos rawatan hemodialisis dan tidak bercadang untuk menyemak mana-mana fi buat masa ini.
“Penularan mesej yang tidak tepat dan tidak bertanggungjawab seperti ini harus dihentikan, bermula dengan menyebarkan maklumat yang sahih daripada sumber yang berwibawa,” katanya.
BACA JUGA Daftar jam 4pm, keluar 11am: Menteri akhirnya bersuara kepada semua pengusaha hotel