Kedai mamak dan daun pisang mahu naik harga, netizen berang seru boikot

Orang ramai diseru memboikot restoran yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga makanan antara 20 peratus dan 30 peratus seperti diumum Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia susulan pelaksanaan gaji minimum baharu mulai 1 Februari 2025.

Netizen menyelar sikap pemilik restoran mamak terbabit memandangkan harga ayam mentah dan minyak masak turun sebelum ini pun, harga makanan tidak pula diturunkan.

Namun, apabila kerajaan mengumumkan gaji minimum naik 13 peratus daripada RM1,500, pengusaha kedai mamak terbabit mahu menaikkan harga dengan kadar melampau pula.

Rata-rata berpendapat peniaga dan pemilik restoran menaikkan harga makanan sesuka hati.

Contohnya, apabila harga diesel naik, harga gula turut naik 20 sen sekilo dan akhirnya air segelas juga naik 20 sen seolah-olah sekilogram gula diguna untuk segelas air minuman.

“Masa minyak naik dulu pun harga barang merapu naik. Lepas minyak turun tiada pula peniaga nak turunkan harga makanan. Kerajaan buatlah apa pun, harga tetap akan naik,” luah Effi Fazril.

“Peniaga akan ambil kesempatan naikkan harga jualan makanan atas apa-apa harga barang naik. Walau barang itu tiada kaitan dengan makanan, tetap akan naikkan. Harga simen naik, harga karipap pun naik. Tapi karipap makin kecil besar ibu jari kaki!” kata @inderasakti_kl.

“Boikot saja semua yang naik harga. Jika rakyat Malaysia boleh memboikot McD, mengapa tidak restoran-restoran yang hanya menaikkan harga untuk meraih margin keuntungan melampau,” tegas @dineshaimst1.

“Restoran mamak dan daun pisang akan sentiasa cari jalan untuk menaikkan harga. Kumpulan paling tamak,” kecam @eddienglfc.

Dalam masa sama, ada turut mempersoal sejak bila restoran mamak mematuhi dasar gaji minimum pekerja mereka.

Semalam, Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia dilapor berkata, gaji minimum baharu RM1,700 mulai tahun depan akan menyebabkan harga naik antara 20 dan 30 peratus.

Presidennya, Datuk J. Govindasamy berkata, kos operasi sudah meningkat dengan pemansuhan subsidi diesel dan kenaikan harga bahan mentah.

Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri pada 18 Oktober lalu menyatakan gaji minimum akan naik daripada RM1,500 kepada RM1,700 berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.

BACA JUGA 7 perkara dalam Belanjawan 2025 berkaitan Islam

Â