Bukan biasa-biasa, pemuda terkejut pasar tani di Hawaii jual nasi lemak Malaysia

Seorang pengguna TikTok terkejut selepas melihat makanan tradisi rakyat Malaysia iaitu nasi lemak dijual di pasar tani di Honolulu, Hawaii.

Pemuda bernama Aiman Ariffin berkata, dia pada mulanya terkejut bagaimana nasi lemak kegemaran rakyat Malaysia boleh jejak hingga ke Hawaii yang merupakan salah satu pulau peranginan terkenal dunia.

Selepas mengunjungi gerai itu, dia mendapati hidangan tersebut dijual oleh seorang Mat Salleh yang mempelajari menu nasi lemak dari seorang chef di New York yang mempunyai restoran makanan Malaysia.

Namun apa yang lucu, pemuda berkenaan berkata, nasi lemak itu tidak halal kerana ia menggunakan serunding babi.

“Hari itu aku ada pergi satu pasar tani di Honolulu dan aku terjumpa satu kedai yang buat aku bangga gila.

“Ini satu-satunya kedai yang jual makanan Malaysia, jadi teruja ingat dapat makan nasi lemak.

“Tapi bila pergi dekat-dekat gerai (dan tengok senarai harga), rupanya harga haram (mahal) dan nasi lemak dia pun haram.

“Ini pun pertama kali aku tengok serunding babi atas nasi lemak,” katanya dalam satu video di TikTok.

Pada kain rentang yang disangkut pada gerai tersebut, dapat dilihat menu disediakan adalah nasi lemak ayam yang ditambah dengan serunding babi, selain turut menyediakan menu rendang daging.

Pemilik gerai tersebut, Andrew Presllar berkata, dia sebelum ini bekerja di New York dengan seorang lagi chef yang memberi tunjuk ajar dalam menyiapkan hidangan nasi lemak.

Katanya, dia obses dengan nasi lemak selepas kali pertama menikmati makanan itu.

BACA JUGA Pegawai MB Kedah didakwa kasari peniaga, laporan polis dibuat

Â