KP Pas tak buat ‘fact check’, sindir pimpinan sendiri isu hapus hutang PTPTN

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden didakwa tidak membuat semakan fakta apabila menyindir kerajaan berhubung janji penghapusan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Klip video Ahli Parlimen Alor Setar itu berucap di Dewan Rakyat sambil meniru mimik ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjanjikan minyak turun, tersebar di media sosial.

“…dia masuk universiti dia kena bayar PTPTN. Sedangkan ada yang berjanji, kalau hari ini kita menang kita akan hapus PTPTN sedara-sedara,” kata Afnan.

Namun sindiran itu dianggap seperti makan diri kerana pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pimpinan Pas sebenarnya telah menjanjikan hutang PTPTN dihapuskan.

Ucapan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menjanjikan perkara itu turut tular kembali.

“Pakatan Harapan (janji) tangguh dulu (bayar PTPTN), bila gaji RM4,000 ke atas baru bayar.

“Pas (pula), kita akan hapuskan semua hutang PTPTN. Pasal apa? Pasal memang rakyat berhak mendapatkan pendidikan percuma,” kata Tuan Ibrahim dalam satu video lama sebelum PRU14.

Pakatan Harapan (PH) tidak pernah berjanji untuk menghapuskan keseluruhan hutang peminjam.

Manifesto PH berkaitan PTPTN ketika PRU14 adalah penangguhan bayaran sehingga peminjam memiliki gaji RM4,000.

Selain itu, PH berjanji untuk melaksanakan Program Pemansuhan Hutang Bersasar Khas kepada golongan miskin dan isi rumah B40.

Namun tidak pernah dijanjikan pelupusan hutang keseluruhannya.

Foto dari Facebook Pas Pusat

Sementara itu Harapan Daily menemui poster yang dimuat naik Pas Pusat di Facebook pada 2018.

Poster itu tertera manifesto janji Pas untuk melupuskan hutang peminjam PTPTN, terutama kepada mereka yang sudah disenarai hitam oleh perbadanan itu.

“Pas akan melupuskan hutang peminjam-peminjam PTPTN sedia ada untuk meringankan beban anak muda sebagai satu inisiatif permulaan ke arah pendidikan percuma”. Demikian menurut janji dalam manifesto parti itu.

Namun sehingga kini pemimpin Pas banyak memainkan isu janji PTPTN ini dengan menuding kepada PH.

BACA JUGA Pegawai MB Kedah didakwa kasari peniaga, laporan polis dibuat

Â