Gaji RM7,000 sebulan dah tak layak dapat subsidi RON95? Ini penjelasan Rafizi

Rafizi Ramli tampil memberi penjelasan berhubung beberapa persoalan susulan pembentangan Belanjawan 2025 termasuk dakwaan kononnya mereka yang bergaji RM7,000 sebulan tidak layak untuk menerima subsidi RON95.

Menteri Ekonomi itu berkata, tidak ada kenaikan harga RON95 kepada golongan yang berada dalam 85 peratus terbawah daripada segi kedudukan sosio-ekonomi.

“Nak mudah cakap, 85 peratus daripada kita akan terus bayar harga RON95 seperti biasa.

“Jadi, tidak timbul soal subsidi ditarik, rakyat dibebankan seperti yang diuar-uarkan,” katanya menerusi hantaran di media sosial malam ini.

Menurutnya, bagi golongan yang berada dalam kelompok 15 peratus teratas daripada segi kedudukan sosio-ekonomi, mereka terbabit akan membayar mengikut harga pasaran.

“Maka ada yang terlebih laju dengan segera membuat kesimpulan T15 ini merujuk kepada pendapatan isi rumah semata-mata.

“Ni macam terlebih laju hebahkan menang perlumbaan sedangkan tidak habis pun perlumbaan,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan menjelaskan B40, M40, T20 atau T15 hanyalah garis statistik yang bergantung kepada set data.

“Kalau set data itu merujuk kepada taburan pendapatan isi rumah seluruh Malaysia, maka T15 merujuk kepada isi rumah yang taburan pendapatannya adalah 15 peratus paling tinggi.

“Tetapi kita sedia maklum bahawa kos sara hidup ini tidak boleh diukur berdasarkan pendapatan kasar semata-mata.

“Banyak faktor lain yang mempengaruhinya, termasuklah saiz isi rumah, lokasi, tanggungan dan sebagainya.

“Sudah tentu penentuan T15 ini adalah merujuk kepada taburan yang lebih adil, bukannya berdasarkan pendapatan kasar semata-mata,” katanya.

Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR memaklumkan proses untuk memuktamadkan kriteria yang menentukan kedudukan sosio-ekonomi sesebuah keluarga yang lebih adil sedang dilaksanakan.

Menjawab pertikaian mengapa perkara tersebut diumum dalam pembentangan Belanjawan 2025 tanpa dibincang terlebih dahulu, beliau berkata, pelbagai perbincangan mengenai kaedah yang lebih adil telah dibincangkan sebelum ini.

“Di Parlimen pun saya telah nyatakan hasrat kerajaan untuk beralih dari pengukuran berdasarkan pendapatan kasar semata-mata.

“Kaedah-kaedah yang dicadangkan dan dipertimbangkan juga telah dibentangkan dan dibincangkan di pelbagai peringkat kerajaan.

“Sekarang, setelah kerajaan telah membuat keputusan untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi RON95 dengan garis masa yang jelas, kaedah yang dimuktamadkan itu akan diangkat untuk persetujuan Jemaah Menteri.

“Setelah semuanya telah diharmonikan dan perincian pelaksanaan itu mendapat kelulusan Jemaah Menteri, maka barulah ia boleh diumumkan kepada rakyat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Rafizi menjelaskan belanjawan ialah penyataan hasrat dan rancangan kerajaan untuk tahun itu dengan angka-angka yang diumumkan adalah satu anggaran dan unjuran.

“Bukannya kita dah buat spesifikasi bangunan, lantik kontraktor baru dimasukkan dan diumumkan di dalam Belanjawan.

“Kerajaan menyatakan rancangan pendapatan dan perbelanjaan, yang melibatkan dasar-dasar dan projek-projek pada anggaran awal untuk mendapat kelulusan Dewan Rakyat.

“Selepas diluluskan, kerajaan kemudian menggunakan kelulusan itu untuk memperincikan projek-projek untuk dilaksanakan, termasuklah membuka tender, melantik kontraktor dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam masa sama, Rafizi turut membidas pertikaian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tentang perincian Belanjawan 2025.

Hujahnya, jika semuanya perlu diperincikan dan telah dimuktamadkan sebelum boleh diumum dalam pembentangan belanjawan, maka bertahun-tahunlah sesuatu belanjawan itu perlu untuk disiapkan serta berjilid-jilid buku belanjawan harus dicetak untuk setiap seorang Ahli Parlimen.

“Sepatutnya beliau (Syed Saddiq) sedia maklum proses ini sebab beliau pernah menjadi menteri termuda,” ulas Rafizi lagi.

BACA JUGA Nak berdrama pun bawalah contoh yang betul, MP Pas dikecam ‘petik’ kes OKU

Â