Dah 3 hari bersidang, Pemuda PH tanya mana belanjawan alternatif pembangkang?

Memasuki hari ketiga Parlimen bersidang pasca Belanjawan MADANI 2024, pembangkang masih gagal mengemukakan bajet alternatif atau solusi lebih baik dari yang dibentangkan Perdana Menteri.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Ammar Atan membandingkan Perikatan Nasional (PN) dengan Pakatan Harapan sewaktu menjadi pembangkang dahulu, di mana PH akan membentangkan belanjawan bayangan sebagai saingan kepada belanjawan kerajaan.

Beliau berkata, PN bukan sahaja gagal memahami permasalahan negara, malah turut disertai dengan prestasi kehadiran yang bermasalah dalam sidang Parlimen

“Ketidakhadiran mereka dalam sidang-sidang penting memperlihatkan sikap tidak serius dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat.

“Pakatan Harapan (dahulu) tidak hanya memberi kritikan, tetapi turut menawarkan polisi-polisi yang jelas dan cadangan alternatif yang konkrit, bersedia untuk memimpin bila-bila masa sekiranya diberi mandat.

“Namun, amat mengecewakan apabila pihak pembangkang masih gagal untuk mengemukakan belanjawan alternatif atau sebarang cadangan solusi yang lebih baik dan menyeluruh untuk kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ammar yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu menasihatkan agar pembangkang lebih bertanggungjawab menjalankan peranan mereka.

“Kehadiran yang lemah dan sekadar berteriak tanpa cadangan konkrit tidak membawa manfaat kepada rakyat.

“Mereka perlu tampil dengan solusi yang lebih baik dan relevan demi memajukan negara. Setakat ini, apa yang kita saksikan hanyalah kegagalan demi kegagalan mereka untuk menawarkan alternatif yang lebih baik,” ujarnya.

BACA JUGA Norhizam buat ‘come back’, jawatan ditandingi masih rahsia

Â