Dituduh simpan ratusan juta dolar, Hospital Sahel buka pintu kepada ratusan wartawan
Kejahatan pengganas Israel yang menyerang puluhan hospital dan sistem penjagaan kesihatan di Gaza dilihat cuba untuk diteruskan di Lubnan.
Rejim penjahat nombor satu dunia itu mendakwa Hizbullah menyimpan ratusan juta dolar dalam bentuk wang tunai dan emas di kawasan kubu yang dibina di bawah sebuah hospital di Beirut.
Walaupun begitu, dalih Israel, mereka tidak akan menyerang hospital itu ketika meneruskan sasaran terhadap aset kewangan Hizbullah.
Susulan tuduhan jahat rejim tersebut, pihak Hospital Al-Sahel membuka pintunya kepada ratusan wartawan untuk melihat sendiri penipuan Israel itu.
Menerusi rakaman tular di media sosial, seorang wartawan dari TV AlJadeed Lubnan melawat hospital tersebut dengan meninjau tingkat bawah tanah pusat perubatan itu.
Terbukti Israel mengitar semula skrip pembohongan mereka seperti kerap dilakukan di Gaza untuk mewajarkan Tindakan memusnahkan hospital dan membunuh orang awam.
Tiada sama sekali kehadiran pejuang Hizbullah selain tiada “bunker wang kewangan.”
Sementara itu, Pengarah Hospital Al-Sahel, Fadi Alameh yang juga Ahli Parlimen Lubnan dari Parti Gerakan Syiah Amal menegaskan, Israel sengaja membuat dakwaan palsu dan menyebarkan fitnah terhadap Hezbollah.
Tentera Lubnan juga dikerah untuk melawat hospital Al-Sahel yang didakwa menyimpan aset tersebut, namun hanya menemukan bilik bedah dan pesakit.
“Inilah sebab sebenar mengapa Israel tidak membenarkan wartawan asing bebas membuat liputan mengenai Gaza.
“Ini kerana mereka akan membantu dunia menilai dengan betul melalui naratif cakap kosong Israel dan pembohongan yang mereka gunakan untuk mewajarkan genosid,” demikian antara pendapat warganet.
Sepanjang lebih setahun genosid dilakukan rejim Zionis terhadap penduduk Gaza, sekurang-kurangnya 23 hospital musnah dibom Israel serta membunuh hampir 1,000 pekerja penjagaan kesihatan.
Israel kini sudah hampir sebulan menyerang Lubnan dengan meluaskan serangan ke atas cabang kewangan Hizbullah.
Tentera negara haram itu berkata, peti besi bawah tanah dengan wang tunai dan emas bernilai puluhan juta dolar adalah antara hampir 30 sasaran milik firma kewangan berkaitan Hizbullah, Al-Qard al-Hassan.
Perang yang berlarutan hampir sebulan mengorbankan sekurang-kurangnya 1,489 orang di Lubnan, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
BACA JUGA ‘Tunggang’ nabi dan malaikat pula, ini bukti Pas bukan parti agama